[VIDEO] Bekas CEO FIC didakwa perdaya nilai harga pasaran 24 tanah

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah agensi kerajaan itu, 12 tahun lalu.

Mohd Zaid yang memakai kemeja berwarna putih diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohd Zaid yang memakai kemeja berwarna putih diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Ia berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi projek cadangan pembangunan komersial serta nilai harga pasaran bagi 24 tanah di Bandar Kuala Lumpur dan Mukim Setapak di sini.

Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, yang memakai kemeja berwarna putih, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

"Tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya ketika berdiri dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu CEO FIC didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah untuk mempercayai bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek 'The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur'.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa mengetahui syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner.

Perdayaan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek terbabit, sedangkan mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC, di sini pada 16 Januari 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah dengan membuat mereka mempercayai bahawa penilaian harga pasaran 24 bidang tanah milik Felda untuk pembangunan komersial, seperti dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd, berjumlah RM330.96 juta.

Tertuduh didakwa mengetahui nilai sebenar tanah berkenaan ialah RM691.7 juta.

Anggaran awal nilai pasaran yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi semua tanah itu ialah RM180 juta.

Tertuduh juga didakwa mengetahui bahawa JPPH tidak pernah memberikan anggaran awal nilai pasaran berkenaan kepada FIC, sehingga mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran daripada Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Walhal, Lembaga Pengarah tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 29 April 2014.

Pertuduhan bagi kedua-dua kes dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi.

Bagaimanapun peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh, merayu kadar jaminan itu dikurangkan kerana anak guam sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM.

Menurutnya, Mohd Zaid pernah menjadi saksi pendakwaan bagi pihak SPRM, membabitkan bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Isa Samad.

Beliau memohon, mahkamah memberi kelonggaran berhubung syarat tambahan berkaitan serahan pasport, kerana anak guam akan mengerjakan umrah pada 4 hingga 14 November depan.

“Saya mohon penyerahan pasport dibuat selepas Mohd Zaid pulang daripada mengerjakan umrah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 29 Oktober depan.

Pada Jumaat, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan, dua bekas pengurusan tertinggi agensi itu, yang disiasat berkait penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di mahkamah.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, FIC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!