Buaya muncul di tiga lokasi perairan Manjung

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak melakukan pemantauan di sekitar perairan Kampung Sitiawan, Telaga Nenas, dan Bukit Botak di Manjung berikutan aduan kemunculan buaya di tiga lokasi berkenaan.
Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, pemantauan itu dilaksanakan susulan aduan yang diterima daripada masyarakat setempat memandangkan tiada sebarang rekod kehadiran reptilia berkenaan dilaporkan di kawasan berkenaan sebelum ini.
"Kehadiran buaya di sesuatu kawasan tidak semestinya menunjukkan haiwan itu baru berpindah atau dilepaskan, sebaliknya pergerakannya dipengaruhi pelbagai faktor seperti keadaan pasang surut air, ketersediaan sumber makanan, dan perubahan habitat.
"Bagaimanapun, pengesahan spesies dan faktor sebenar yang menyebabkan penampakan di lokasi tertentu perlu dibuat berdasarkan pemerhatian serta penilaian di lapangan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Bernama.
Dua hari lepas tular satu klip video berdurasi 21 saat yang menunjukkan kemunculan seekor buaya di tiga lokasi terbabit, dengan rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan penduduk tempatan terutamanya pemancing dan nelayan darat.
Pazil berkata, pemasangan papan tanda amaran akan dibuat di lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat reptilia itu sering memunculkan diri.
"Kerjasama rapat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat juga akan ditingkatkan bagi memastikan hebahan keselamatan, serta penandaan amaran dapat disempurnakan di sepanjang kawasan risiko," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutama nelayan, pemancing dan pengusaha akuakultur supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan perairan berkenaan.
"Orang awam diingatkan supaya tidak mengganggu, cuba menangkap, atau mendekati buaya berkenaan semata-mata untuk mengambil gambar dan video demi keselamatan diri masing-masing.
"Masyarakat juga diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sah yang boleh menimbulkan kegusaran umum, sebaliknya sebarang penampakan baharu perlu dilaporkan terus menerusi talian Hotline Perhilitan 1-800-88-5151 untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
