'Beliau seperti seorang ibu' - Mohd Shuhaily kongsi kenangan bersama Dr Hasmah

PUTRAJAYA - "Setiap kali habis tugasan, setiap hari beliau akan tanya kami, dah makan ke belum? Cukup rehat?"
Itu perkongsian Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman semasa mengiring Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke luar negara.
Menurut Mohd Shuhaily, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali sentiasa mengambil berat kebajikan anggota keselamatan yang menjalankan tugas mengiringi pasangan negarawan berkenaan.
"Keprihatinan Allahyarham membuatkan beliau bukan sekadar isteri kepada seorang Perdana Menteri, sebaliknya sudah dianggap seperti seorang ibu.
"Bagi kami yang berada dalam pasukan keselamatan, beliau seperti seorang ibu. Saya sendiri meremang apabila mengenangkannya,” katanya ketika berkongsi kenangan mengenai Allahyarham di Pusara Negara Presint 20 di sini pada Isnin.
Mohd Shuhaily yang juga Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, di sebalik pelbagai pengalaman mengiringi pasangan itu, satu kenangan cukup peribadi kekal terpahat dalam ingatannya hingga kini apabila meraikan hari lahir bersama Dr Hasmah di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.
Katanya, kebetulan dirinya dan Allahyarham berkongsi tarikh lahir yang sama dan apa yang lebih menyentuh hatinya ialah Dr Hasmah sendiri mengingati perkara itu.
"Saya berada di Baltimore ketika hari lahir dan tiba-tiba Tun (Dr Hasmah) teringat saya ada di situ. Beliau panggil saya dan berkata, 'Shuhaily, your birthday sama dengan saya kan?'
"Saya jawab, 'Ya, Tun’, kemudian beliau mengajak saya meraikannya bersama. Itulah kenangan yang tidak akan saya lupakan," katanya.
Malah, Mohd Shuhaily berkata, setiap kali terserempak dengan Dr Hasmah selepas itu, Allahyarham masih mengenali dan mengingatinya meskipun mereka tidak sering bertemu.
Mohd Shuhaily yang turut mengetuai pasukan keselamatan bagi lawatan pertama Dr Mahathir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018 berkata, beliau menyaksikan sendiri bagaimana Dr Hasmah sentiasa menjadi tonggak sokongan kepada suaminya.
Jelasnya, menyaksikan Dr Mahathir kembali ke pentas antarabangsa selepas sekian lama merupakan satu penghormatan, lebih-lebih lagi apabila negarawan itu menerima sambutan yang cukup baik.
Dalam setiap perjalanan itu, Mohd Shuhaily berkata, Dr Hasmah kekal sebagai pendamping dan penyokong kuat Dr Mahathir.
"Pemergiannya satu kehilangan kepada negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
