Tujuh dekad bersama, air mata Tun M iringi perjalanan akhir Tun Dr Hasmah

Tun M dilihat sayu dan menitiskan air mata ketika memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham isterinya, Tun Dr Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB
Tun M dilihat sayu dan menitiskan air mata ketika memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham isterinya, Tun Dr Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas tujuh dekad melayari kehidupan bersama, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berdepan detik paling sukar apabila terpaksa mengiringi pemergian isteri tersayang, Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir, yang menggunakan kerusi roda elektrik dan mengenakan tiub oksigen, tetap setia mengiringi perjalanan terakhir insan yang menjadi pendamping hidupnya selama tujuh dekad ke tempat persemadian abadi bersama dengan anak-anak serta ahli keluarga terdekat.

Suasana pilu mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham, bermula dari kediaman keluarga ketika penghormatan terakhir dan solat jenazah di masjid hinggalah ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya.

Berwajah sugul, bekas Perdana Menteri itu dilihat termenung seketika sambil memandang jenazah Dr Hasmah ketika memberikan penghormatan terakhir di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di sini.

Beliau turut menyertai solat jenazah bersama dengan ribuan jemaah yang memenuhi ruang masjid.

Sejurus tiba di Pusara Negara, Dr Mahathir terus mengiringi jenazah isterinya ke kawasan perkuburan bersama dengan anak-anak dan ahli keluarga terdekat sebelum Allahyarham disemadikan.

Dari kerusi roda elektriknya, beliau menyaksikan upacara pengebumian Dr Hasmah yang berlangsung dalam suasana hening dengan anak-anak serta ahli keluarga berada di sisinya.

Kesedihan jelas terpancar di wajah Dr Mahathir ketika beliau dilihat menitiskan air mata ketika berada di sisi pusara isterinya, dalam detik penuh hiba saat mengucapkan salam perpisahan dan menatap buat kali terakhir wajah insan yang selama ini setia berada di sisinya.

Bagi rakyat Malaysia, Dr Mahathir dan Dr Hasmah bukan sekadar pasangan bekas Perdana Menteri dan isteri malah kemesraan yang sering diperlihatkan secara spontan di khalayak menjadikan mereka cukup dekat di hati masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pelbagai acara rasmi mahupun ketika tampil dalam suasana santai, Dr Hasmah hampir tidak pernah jauh dari sisi suaminya, menjadi pendamping dan antara tonggak penting di belakang perjalanan panjang Dr Mahathir dalam kehidupan serta arena politik negara.

Sifat bersahaja mereka menerusi gurauan, usikan dan interaksi mesra juga sering mencuri perhatian sekali gus memperlihatkan sisi peribadi dua figura yang menghabiskan sebahagian besar kehidupan bersama.

Dr Mahathir dan Dr Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini, bahtera perkahwinan pasangan ini mencecah 70 tahun.

Sepanjang tujuh dekad bersama, Dr Hasmah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu kepada tujuh anak mereka malah beliau setia berada di sisi Dr Mahathir menempuh pelbagai fasa kehidupan serta perjalanan panjang kerjaya politik suaminya.

Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi tadi pada usia 100 tahun. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!