Jenazah Tun Dr Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara

PUTRAJAYA - Jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, di sini pada Isnin.
Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat.
Penghormatan itu melibatkan lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bacaan talkin dan doa kemudian dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Istiadat itu selesai sekitar jam 6.40 petang.
Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat pengebumian berlangsung dengan penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham yang juga tokoh perubatan negara.

Allahyarham Tun Dr Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi.
Jenazah dibawa pulang ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada jam 10.48 pagi sebelum disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah.
Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.
Tun Dr Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara selain turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
