Pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus sifatkan Tun Dr Hasmah penyayang, ambil berat rakyat

Pemenang Hadiah Nobel Profesor Muhammad Yunus memuat naik hantaran di Facebook mengenang Allahyarham Tun Dr Hasmah. Foto Facebook Yunus Centre.
Pemenang Hadiah Nobel Profesor Muhammad Yunus memuat naik hantaran di Facebook mengenang Allahyarham Tun Dr Hasmah. Foto Facebook Yunus Centre.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemenang Hadiah Nobel Profesor Muhammad Yunus memuat naik hantaran di Facebook mengenang Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, menyifatkan beliau sebagai seorang doktor dan penjawat awam yang penyayang yang sumbangannya membantu memajukan usaha membawa perkhidmatan kewangan kepada keluarga termiskin di dunia.

Dalam ucapan takziah yang dikongsikan pada laman media sosial itu pada Isnin, Yunus berkata, beliau amat bersedih dengan pemergian Dr Hasmah dan mengucapkan takziah kepada suaminya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anak perempuan mereka Marina dan rakyat Malaysia.

"Ingatan dan doa saya bersama anda semua pada masa kehilangan yang besar ini.

"Adalah satu keistimewaan dan kegembiraan mengenali Dr Hasmah sebagai kawan sejak 1990-an. Beliau adalah seorang doktor dan penjawat awam yang luar biasa yang sangat mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat biasa," menurutnya.

Hantaran itu turut termasuk foto Yunus bersama Dr Hasmah.

Mengimbau penglibatan Dr Hasmah dengan Jawatankuasa Pemandu Kempen Sidang Kemuncak Mikrokredit, Yunus berkata, sokongan beliau membantu memajukan usaha untuk membawa perkhidmatan kewangan kepada keluarga termiskin di dunia.

Beliau berkata, Allahyarham juga beberapa kali melawat Grameen Bank bagi membantu memantapkan prosedur kerja Amanah Ikhtiar Malaysia.

Mengenang pertemuan terakhir mereka pada Hari Perusahaan Sosial di Langkawi pada 2023, Yunus berkata, beliau akan sentiasa mengingati Dr Hasmah atas kebaikan, kemesraan dan keprihatinannya yang tulus terhadap orang lain.

"Beliau berkhidmat untuk negaranya dengan keanggunan dan kecemerlangan. Kemesraan, kasih sayang dan baktinya akan diingati oleh semua yang bertuah mengenali Allahyarham, dan memori beliau akan kekal di hati ramai," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin pada usia 100 tahun. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!