Majlis Taman terbuka untuk rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan

Tengku Mohamed Faziharudean (kanan) semasa sidang akhbar di Istana Balai Besar di Kota Bharu pada Isnin.
Tengku Mohamed Faziharudean (kanan) semasa sidang akhbar di Istana Balai Besar di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan berpeluang menyaksikan secara dekat kemeriahan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V apabila Majlis Taman (Majlis Raja Bersama Rakyat) diadakan secara terbuka di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Rabu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, majlis berkenaan dijadualkan bermula pada jam 4.30 petang dan Sultan Muhammad V dijangka berangkat menghadiri program berkenaan.

Menurut beliau, Majlis Taman menjadi antara pengisian utama sambutan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-57 pada tahun ini, selain memberi ruang kepada rakyat untuk menyaksikan sendiri istiadat dan persembahan yang disediakan.

"Majlis Taman ini biasanya menjadi lokasi untuk rakyat bersama dengan Raja. Ada persembahan seperti tarian kanak-kanak selain penyampaian hadiah bagi aktiviti yang dipertandingkan," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sementara itu, pada Selasa, beberapa istiadat utama turut dijadualkan berlangsung termasuk Istiadat Meletak Kerja di Istana Balai Besar, Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Stadium Sultan Muhammad IV serta Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia.

Sambutan tahun ini mengangkat tema "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada".

Ujar beliau, lokasi di Stadium Sultan Muhammad IV dipilih bagi membolehkan lebih ramai rakyat hadir menyaksikan acara berkenaan berbanding lokasi sebelum ini.

Jelasnya, Majlis Taman itu terbuka kepada orang ramai, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk turut memeriahkan sambutan hari keputeraan Sultan Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Mohamed Faziharudean memberitahu, Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan yang dijadualkan berlangsung pada Selasa turut diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Artikel Berkaitan:

"Perbarisan itu terbuka dan rakyat boleh datang untuk menyaksikan perbarisan berkenaan.

"Sambutan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-57 turut menyaksikan beberapa perubahan pengisian berbanding tahun lalu apabila program Semarak Daulat menjadi antara acara utama tahun ini, menggantikan acara kereta berhias yang pernah diadakan sebelum ini," katanya.

Ujar beliau, tiada perarakan gajah atau acara bot dijadualkan dalam sambutan kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!