ECRL pemangkin ekonomi negeri - Sultan Kelantan

KOTA BHARU - Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjadi antara pemangkin utama transformasi ekonomi Kelantan apabila negeri ini disasar memanfaatkan jaringan berkenaan untuk memperluas pasaran, meningkatkan kecekapan logistik dan menarik pelaburan baharu.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, pengoperasian ECRL yang dijangka bermula Januari 2027 perlu dimanfaatkan sebaiknya menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Beta menggesa kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan agar memanfaatkan infrastruktur ini bagi meningkatkan kecekapan logistik, memperluas akses pasaran dan memperkukuhkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan baharu yang berdaya saing," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 di Istana Balai Besar di sini pada Selasa.
Sultan Muhammad V turut berharap Kerajaan Persekutuan menaik taraf jalan utama khususnya ke pusat pembangunan berasaskan transit di Bandar Baharu Tunjong dan pusat pembangunan berasaskan kargo di Cherang Tuli, Pasir Puteh.
Menurut baginda, perkembangan infrastruktur itu hadir ketika ekonomi Kelantan menunjukkan daya tahan apabila berkembang 4.1 peratus pada 2025 berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.
Titah baginda, sektor perkhidmatan kekal menjadi tunjang ekonomi negeri dengan sumbangan 71.8 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak 19.8 peratus.
Baginda turut melihat potensi besar menerusi pengoperasian dua kawasan industri baharu di Machang dan Tok Bali yang dijangka bermula tahun hadapan, selain peningkatan sektor pembinaan menerusi projek berimpak tinggi serta perlombongan berasaskan sumber sedia ada.
Dalam masa sama, Sultan Muhammad V bertitah Kelantan berpotensi menjadi peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari.
Baginda mahu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memainkan peranan memastikan Taman Perindustrian Tok Bali menjadi teras kepada pembangunan ekonomi berkenaan.
Sultan Muhammad V turut menyambut baik usaha kerajaan negeri meneroka ekonomi hijau termasuk tenaga boleh baharu sebagai sumber hasil baharu negeri tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Baginda dalam pada itu mahu Kelantan diperkukuhkan sebagai hab makanan negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan Rantau Panjang yang dilihat berpotensi menjadi pemangkin transformasi sektor agromakanan menerusi pertanian, penternakan, agropelancongan dan industri hiliran.
"Sektor pelancongan turut diberi perhatian apabila Kelantan merekodkan 12 juta pelawat domestik dan 6.6 juta pelancong pada 2025.
"Beta mahu usaha menarik pelancong antarabangsa dipergiat menerusi promosi bersepadu, kerjasama strategik dan pembangunan produk berimpak tinggi termasuk pelancongan perubatan.
"Perkembangan laluan penerbangan antarabangsa yang menghubungkan Kelantan dengan Jakarta dan Singapura juga disambut baik, selain harapan supaya lebih banyak laluan baharu diwujudkan," titah Baginda.
Dalam konteks itu, baginda turut mahu Stong Geopark dikekalkan sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya diangkat sebagai UNESCO Global Geopark.
Sultan Muhammad V turut menekankan pembangunan modal insan menerusi pendidikan agama, arus perdana serta latihan teknikal dan vokasional, selain menyambut baik cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara.
Baginda turut mahu pembangunan sukan diperkasakan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Dalam aspek kesejahteraan rakyat pula, baginda menekankan kepentingan kebersihan persekitaran dan berharap pihak berkuasa tempatan terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta kebersihan awam.
Baginda turut menyatakan persetujuan terhadap pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Kelantan bagi mewujudkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih tersusun dan berkesan.
Sultan Muhammad V pada akhir titah menyeru seluruh rakyat bersama-sama berdoa agar Kelantan terus dilimpahi kemakmuran dan kesejahteraan serta dipelihara daripada segala musibah dan bencana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

