'Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita' - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menzahirkan rasa sedih dan kehilangan atas pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali, sambil berkongsi kenangan mengenai pertemuan terakhir beliau bersama tokoh negara itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Syed Saddiq berkata, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa ia akan menjadi detik terakhir bersama Allahyarham.
“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya pasti mahu dua jam itu kekal selama-lamanya,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, Allahyarham Dr Hasmah ketika itu sempat bergurau, berkongsi cerita serta memberikan nasihat mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan kepada beliau dan pasangannya, Bella Astillah.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang penyayang, mesra, lucu dan memiliki kebijaksanaan yang lahir daripada pengalaman hidup yang panjang.
“Hari ini, Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya.
“Saya sayang Tun lebih daripada yang alam semesta mampu gambarkan,” katanya.
Syed Saddiq turut mengakui pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam sehingga sukar untuk dipercayai bahawa tokoh berkenaan telah pergi buat selama-lamanya.
Dalam hantaran sama, beliau dan Bella Astillah merakamkan penghargaan atas kenangan terakhir yang sempat dikongsi bersama Allahyarham.
“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.
Syed Saddiq turut mendedahkan beliau dan Bella tidak sempat menunaikan hasrat Allahyarham untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau berjanji segala nasihat yang diberikan Dr Hasmah akan terus menjadi panduan dalam kehidupan berumah tangga nanti.
“Kami akan membawa segala nasihat Tun ke dalam perkahwinan kami, ke dalam rumah tangga kami dan Insya-Allah sepanjang kehidupan kami,” katanya.
Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dikurniakan darjat tertinggi di sisi ALLAH SWT. - AWANI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
