Rakyat Malaysia kehilangan ‘ibu negara’ - Pas

KUALA LUMPUR - Seluruh ahli Pas menzahirkan rasa sedih dan kehilangan susulan pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau bagi pihak parti merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian isteri, ibu dan nenek tercinta mereka.
Menurutnya, Allahyarham Dr Hasmah bukan sahaja dikenali sebagai antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan, malah mempunyai rekod panjang dalam perkhidmatan kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.
"Sumbangan Allahyarhamah merangkumi pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan dan juga ekonomi sepanjang Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Takiyuddin turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para solehin serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
"Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada-Nya lah kami kembali," katanya.
Pemergian Dr Hasmah pada usia 100 tahun menutup perjalanan panjang seorang tokoh wanita yang pernah berkhidmat dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kegiatan kemasyarakatan, selain menjadi pendamping kepada Tun Dr Mahathir sepanjang perjalanan politik dan kehidupan beliau.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.20 pagi pada usia 100 tahun dan berita pemergiannya disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dr Hasmah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Julai lalu, meninggalkan suami serta tujuh anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

