Tun Dr Hasmah: Perintis doktor wanita, pendamping setia negarawan

Allahyarham Tun Dr Hasmah
Allahyarham Tun Dr Hasmah
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali pada usia 100 tahun bukan sekadar kehilangan seorang tokoh wanita negara, malah meninggalkan legasi besar dalam bidang perubatan, kebajikan dan pembangunan masyarakat yang akan terus dikenang generasi akan datang.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, Isnin.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Dr Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan, sekali gus membuka jalan kepada lebih ramai wanita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Di awal pembabitannya dalam dunia kedoktoran, anak keenam dari 10 adik-beradik itu melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua menerusi biasiswa.

Beliau dilaporkan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya ketika menuntut di institusi berkenaan.

Selepas menamatkan pengajian, anak kepada pasangan Mohamad Ali dan Siti Khatijah Ahmad itu memulakan khidmat dalam bidang perubatan dan kesihatan awam, termasuk di Kedah.

Pada 1965, Dr Hasmah dilantik sebagai pegawai perubatan wanita pertama di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak Kedah sebelum menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri pada 1974.

Pengalaman bertugas dalam perkhidmatan kesihatan awam, khususnya di kawasan luar bandar, menjadikan beliaubegitu dekat dengan keperluan masyarakat dan cabaran yang dihadapi golongan wanita serta keluarga dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Selain kerjaya perubatan, Allahyarham turut aktif dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan kesihatan, antaranya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia serta pertubuhan yang memperjuangkan kesejahteraan kanak-kanak kurang upaya.

Beliau juga terlibat dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

Dalam satu wawancara pada 2016, Allahyarham pernah menyifatkan antara pengalaman paling membanggakan dalam kerjaya perkhidmatannya ialah apabila masyarakat luar bandar Kedah menerima beliau sebagai sebahagian daripada komuniti mereka.

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1979, Dr Hasmah meneruskan penglibatan dalam bidang akademik sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.

70 tahun setia bersama Dr Mahathir

Dr Hasmah dan Dr Mahathir mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.

Sepanjang tempoh Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Allahyarham memainkan peranan sebagai isteri Perdana Menteri, selain meneruskan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

Sumbangan serta komitmen terhadap masyarakat turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun pada 2003.

Pengurniaan itu menjadikan beliau isteri Perdana Menteri pertama yang menerima gelaran berkenaan.

Pada 12 Julai lalu, Allahyarham menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, sekali gus menjadi saksi perjalanan panjang seorang doktor wanita perintis yang membawa perubahan besar buat negara.

Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, sahabat handai serta mereka yang pernah menerima manfaat daripada khidmat dan sumbangannya.

Legasi Dr Hasmah bukan hanya terletak pada gelaran dan pengiktirafan yang diterima, tetapi pada usaha berterusan memperjuangkan kesihatan, pendidikan serta kebajikan masyarakat.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!