Digigit anjing terbiar, lelaki meninggal dunia akibat rabies

ALOR SETAR – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia akibat rabies pada Sabtu, sekali gus menjadi kes pertama penyakit itu dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Kedah sejak 1998.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, lelaki terbabit mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu.
Menurutnya, mangsa yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian itu tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau postexposure prophylaxis (PEP) rabies.
"Mangsa mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan pada 18 September lalu.
"Keadaannya kemudian berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan dan perubahan tingkah laku pada 22 September, selaras dengan manifestasi klinikal rabies," katanya pada Sabtu.
Jelas JKN Kedah pada 23 September lalu, mangsa mendapatkan rawatan semula sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya, sampel klinikal diambil pada 24 September sebelum keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies.
"Susulan pengesahan kes berkenaan, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Kedah dan agensi berkaitan melaksanakan tindakan kawalan serta pencegahan.
"Langkah itu termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat," ujarnya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama JKN Kedah dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan serta laluan pendedahan mangsa.
Siasatan itu turut merangkumi sejarah perjalanan dan pendedahan, pengenalpastian kontak serta faktor risiko dan analisis garis masa kejadian.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, setakat Ogos lalu, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan dilaporkan di Kedah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 65.3 peratus membabitkan anjing, diikuti kucing (23.1 peratus) dan haiwan lain (11.6 peratus).
Sebanyak 56.2 peratus pula melibatkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus membabitkan haiwan terbiar.
JKN Kedah mengingatkan orang ramai bahawa rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan yang dijangkiti.
Orang ramai dinasihatkan memastikan anjing dan kucing peliharaan menerima vaksinasi antirabies mengikut nasihat DVS serta tidak mendekati, menyentuh atau memberi makan kepada haiwan terbiar.
Sekiranya digigit atau dicakar haiwan, luka hendaklah segera dicuci menggunakan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

