Cubaan seludup dadah dikesan hampir setiap hari, rampasan lebih RM265 juta - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang akhbar Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat pada Ahad.
Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang akhbar Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat pada Ahad.
A
A
A

SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Kes penyeludupan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta dadah antara dua kes utama yang menyumbang kepada lebih RM265 juta nilai rampasan dan ketirisan hasil kerajaan yang berjaya ditangani sepanjang setakat ni.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM80 juta yang direkodkan agensi itu, tahun lalu.

Jelas beliau, AKPS turut mengesan hampir setiap hari cubaan menyeludup dadah termasuk bunga ganja dari negara ini, susulan peningkatan saringan di lapangan terbang.

“Selepas kejadian tempoh hari yang mana juruterbang kita ditahan di Indonesia, AKPS telah diberikan tanggungjawab untuk menyelaraskan saringan bersama pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

“Sebenarnya hampir setiap hari kita ada buat tangkapan, kalau tidak hari-hari pun tiap-tiap minggu yang cuba menyeludup bunga ganja keluar dari negara ini. Kebanyakannya bukanlah warganegara Malaysia tetapi babitkan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily memberitahu, AKPS diberikan tiga tanggungjawab utama di lapangan terbang menerusi 17 inisiatif kerajaan bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan.

“Tugas pertama adalah mengkoordinasi semua saringan secara bersasar.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan semua perihal risikan dan yang ketiga, kita dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan tugasan K9 di lapangan terbang antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan teknologi turut membolehkan pegawai memberi lebih tumpuan kepada aspek penguatkuasaan lain apabila tugas asas seperti pemeriksaan dokumen semakin banyak dibantu sistem automatik.

“Apabila kerja-kerja asas itu boleh diambil alih oleh teknologi, kita akan memberikan latihan penguatkuasaan lain termasuk memastikan barangan yang dibawa masuk atau keluar benar-benar memenuhi syarat kemasukan.

“Ini bermakna penguatkuasaan akan dilakukan secara lebih menyeluruh dan bersepadu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!