Polis Sabah rampas 329kg dadah bernilai hampir RM18 juta

Jauteh (depan, tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Semporna.
Jauteh (depan, tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Sebanyak 329 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai hampir RM18 juta berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan Sabah, baru-baru ini.

Dalam serbuan di Tawau dan Semporna itu, enam individu turut ditahan manakala seorang lagi masih diburu dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, menerusi serbuan pertama di Tawau pada 12 Julai lalu, pihaknya berjaya merampas 74.886 kilogram syabu bernilai kira-kira RM3 juta.

"Empat suspek berusia antara 24 hingga 40 tahun masing-masing dua warga tempatan dan dua warga asing ditahan.

"Keesokan harinya, polis turut membuat serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Semporna dan menemui sebanyak 254.35 kilogram syabu di dalam 24 beg hitam yang disimpan dalam sebuah van. Hasil pemeriksaan, dua suspek ditahan dalam serbuan itu, manakala seorang lagi masih diburu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, di sini pada Isnin.

Katanya lagi, keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan boleh menampung lebih 940,000 pengguna untuk sekali penggunaan.

Tambahnya, dadah tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa dan cuba dihantar ke luar negara.

"Bekalan terbaharu dipercayai berasal dari kawasan Segitiga Emas melibatkan Myanmar, Thailand dan Laos sebelum dibawa masuk ke Sabah melalui Merapok, Sipitang.

"Kita akan berusaha semampu mungkin untuk memastikan dadah tidak masuk ke negeri Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan semasa, Jauteh berkata, sebanyak 12 operasi di bawah Ops Bayu dilancarkan di Sabah sejak Januari hingga 30 Julai lalu dengan hampir empat tan dadah dirampas.

"Kes Ops Bayu satu hingga sembilan telah membawa kepada pertuduhan di mahkamah atau tindakan mengikut langkah pencegahan khas, manakala Ops Bayu 10 hingga 12 masih dalam siasatan.

"PDRM turut memperkukuh risikan dan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi menutup kelonggaran di laluan yang dikenal pasti sebagai pintu masuk dadah ke Sabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!