Paras banjir di Bangkok mula surut

Bangkok merekodkan hampir 300 milimeter (mm) taburan hujan dalam tempoh 48 jam sehingga Sabtu menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air dan ditenggelami banjir. Foto AFP
Bangkok merekodkan hampir 300 milimeter (mm) taburan hujan dalam tempoh 48 jam sehingga Sabtu menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air dan ditenggelami banjir. Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Paras air di beberapa kawasan ibu kota Thailand mula surut pada Ahad selepas hujan lebat yang mencetuskan banjir teruk sehari sebelumnya reda setelah 50 daerah di ibu negara Thailand itu diisytiharkan sebagai zon bencana.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) memaklumkan keadaan itu membolehkan pihak berkuasa mempergiatkan usaha mengepam dan mengalirkan air dari terusan bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Pihak berkuasa menjangkakan keadaan banjir akan beransur pulih sekiranya tiada hujan lebat susulan.

Bangkok merekodkan hampir 300 milimeter (mm) taburan hujan dalam tempoh 48 jam sehingga Sabtu menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air dan ditenggelami banjir.

Cuaca buruk mula reda di ibu kota dan beberapa wilayah berhampiran termasuk kawasan timur, namun keadaan hujan dijangka berterusan dengan hujan lebat di sesetengah kawasan.

Penduduk di kawasan terjejas turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap hujan luar biasa yang berpotensi mencetuskan banjir kilat, peningkatan paras air dan limpahan sungai.

Keadaan itu juga boleh menyebabkan aliran deras dari kawasan hutan dan kejadian tanah runtuh terutamanya di kawasan kaki bukit berhampiran laluan air dan kawasan rendah.

Difahamkan, BMA turut menyediakan 233 pusat perlindungan sementara bagi menempatkan kira-kira 4,200 penduduk terjejas bencana itu. - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!