Rakyat Malaysia dinasihat berwaspada susulan banjir di Bangkok

BANGKOK - Rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan supaya berhati-hati dan terus berwaspada susulan hujan lebat berterusan serta banjir yang terus menjejaskan jalan raya dan aktiviti harian di seluruh ibu negara Thailand itu, dengan kesemua 50 daerah diisytiharkan sebagai zon bencana.
Dalam nasihat yang dikeluarkan pada Sabtu, Kedutaan Malaysia di Bangkok menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke bandar raya itu supaya mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca, jalan raya dan trafik serta merancang perjalanan lebih awal.
"Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya memeriksa keadaan jalan raya dan banjir sebelum melakukan perjalanan, memperuntukkan masa perjalanan tambahan, mengelakkan kawasan terjejas banjir serta mempertimbangkan laluan atau kaedah pengangkutan alternatif jika perlu," menurut kedutaan itu.
Kedutaan itu mengingatkan bahawa keadaan cuaca dan jalan raya boleh berubah dengan pantas, khususnya di kawasan terjejas banjir, serta menggesa rakyat Malaysia memantau keadaan setempat dan mematuhi nasihat serta arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand berkaitan.
Menurut kedutaan itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menyediakan Sistem Pemantauan Banjir Jalan Raya secara dalam talian yang membolehkan orang ramai memeriksa keadaan jalan raya dan paras air di lokasi pemantauan di seluruh ibu negara.
Kedutaan itu memaklumkan rakyat Malaysia juga boleh melaporkan kejadian banjir atau air bertakung menerusi Traffy Fondue atau menghubungi talian BMA di 1555 yang beroperasi 24 jam.
Bagi mendapatkan maklumat perjalanan, bantuan atau pertanyaan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Pusat Perhubungan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) di 1672 atau Polis Pelancong di 1155.
Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt sebelum ini mengisytiharkan kesemua 50 daerah di ibu negara itu sebagai zon bencana susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir dan gangguan trafik.
Banjir dilaporkan melanda 93 daerah, 350 mukim dan 1,425 kampung, manakala air bertakung menjejaskan 44 lokasi jalan raya di Bangkok.
Setakat 7 pagi Sabtu, banjir masih melanda 21 wilayah di seluruh negara, menjejaskan 27,109 isi rumah dan 84,605 penduduk, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM).
Setakat berita ini ditulis, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Bangkok, meskipun beberapa perkhidmatan e-panggilan berhenti menerima tempahan berikutan penutupan jalan, manakala beberapa premis perniagaan masih ditutup.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
