Ekspedisi Goliath: Misi keliling dunia selama 28 tahun

Bushby memulakan ekspedisi itu ketika berusia 29 tahun. Foto: Agensi
Bushby memulakan ekspedisi itu ketika berusia 29 tahun. Foto: Agensi
A
A
A

HULL - Seorang pengembara Britain akhirnya menamatkan perjalanan mengelilingi dunia dengan berjalan kaki selama hampir tiga dekad apabila kembali ke kampung halamannya selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 50,000 kilometer merentasi 30 negara.

Karl Bushby, 57, yang juga bekas anggota Rejimen Payung Terjun Britain tiba di rumah ibunya pada minggu lalu, sekali gus menamatkan Ekspedisi Goliath yang bermula pada 1998.

Kepulangannya disambut orang ramai yang membanjiri pusat bandar Hull termasuk kanak-kanak dan pasukan kawalan kehormat yang mengiringinya pada laluan terakhir menuju ke rumah keluarganya.

Bushby turut menolak sebuah troli yang telah digunakannya selama kira-kira 25 tahun sepanjang pengembaraan berkenaan.

"Maaf kerana membuat anda semua menunggu begitu lama," katanya secara berseloroh kepada orang ramai.

Kepulangan beliau di rumah keluarganya di Hull disambut penduduk setempat. Foto: Agensi
Kepulangan beliau di rumah keluarganya di Hull disambut penduduk setempat. Foto: Agensi

Kepulangan itu turut menjadi detik pertemuan semula keluarga apabila Bushby bertemu semula dengan anak lelakinya, Adam, 36, dan cucu perempuannya yang berusia 12 tahun.

Ekspedisi itu bermula pada 1 November 1998 di Punta Arenas, di hujung selatan Chile ketika Bushby berusia 29 tahun. Beliau hanya membawa khemah, kamera asas dan wang kira-kira 372 pound (RM2,034) tanpa sebarang tajaan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Misi asalnya adalah untuk menghubungkan semua benua di dunia dengan berjalan kaki tanpa menggunakan kereta, bot atau kapal terbang.

Perjalanan yang pada asalnya dirancang mengambil masa kira-kira 12 tahun itu akhirnya berlarutan sehingga 28 tahun dengan anggaran kira-kira 75 juta langkah.

Berdepan pelbagai halangan

Sepanjang perjalanan, Bushby berdepan pelbagai cabaran seperti merentasi kawasan hutan terpencil, laut beku, masalah visa, kekangan kewangan dan perubahan keadaan geopolitik.

Ketika melalui kawasan Darien Gap yang menghubungkan Colombia dan Panama, beliau berdepan kumpulan bersenjata sebelum ditahan pihak berkuasa Panama selama 18 hari pada 2001.

Bushby turut menolak sebuah troli yang telah digunakannya selama kira-kira 25 tahun sepanjang pengembaraan berkenaan. Foto: Agensi
Bushby turut menolak sebuah troli yang telah digunakannya selama kira-kira 25 tahun sepanjang pengembaraan berkenaan. Foto: Agensi

Pada 2006, beliau merentasi Selat Bering yang membeku dan berdepan ancaman beruang kutub selain hampir lemas apabila bekalannya tenggelam bersama kereta luncur yang dijadikan sebagai alat pengangkutannya.

Bushby juga pernah ditahan pihak berkuasa Moscow selama 57 hari sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan. Masalah visa Rusia turut menyebabkan pengembaraannya tertangguh hampir sedekad.

Kekurangan dana turut menjejaskan ekspedisinya apabila beberapa penaja menarik diri susulan krisis kewangan global 2008.

Pada 2013, beliau dikenakan larangan memasuki negara itu selama lima tahun, namun larangan berkenaan ditarik balik pada 2014.

Ekspedisi Goliath itu kemudiannya tertangguh akibat pandemik Covid-19, masalah kesihatan dan perang di Ukraine.

Bagi mengatasi sekatan perjalanan di Eropah, Bushby turut berulang kali ke Mexico sementara menunggu tempoh dibenarkan berada di kawasan Schengen diperbaharui.

Beliau bakal berkongsi pengalaman sepanjang pengembaraan selama hampir tiga dekad itu dengan orang ramai. Foto: Agensi
Beliau bakal berkongsi pengalaman sepanjang pengembaraan selama hampir tiga dekad itu dengan orang ramai. Foto: Agensi

Disebabkan perjalanan melalui Rusia dan Iran dianggap terlalu berisiko bagi warga Britain, beliau mengambil keputusan berenang merentasi Laut Kaspia selama 31 hari.

Beliau turut berenang menyeberangi Selat Inggeris pada musim luruh tahun ini selepas Terowong Selat Inggeris tidak membenarkannya menggunakan laluan itu dengan berjalan kaki.

Selepas hampir tiga dekad mengembara, Bushby mengakui memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah setelah sekian lama menganggap beberapa tempat yang dikunjunginya sebagai kediaman sendiri.

Beliau turut menghargai sokongan orang ramai sepanjang ekspedisi itu. Pengarah filem, Werner Herzog pula dilaporkan sedang menghasilkan dokumentari mengenai pengembaraannya selain Bushby menerima enam jemputan untuk berkongsi pengalaman sepanjang pengembaraan itu. - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!