Banjir Bangkok: Penduduk mula ‘serbu’ pasar raya

BANGKOK – Penduduk di ibu kota Bangkok mula ‘menyerbu’ pasar raya bagi mendapatkan makanan, air minuman dan barangan keperluan ketika hujan lebat berterusan sejak petang Khamis menyebabkan banjir meluas di ibu negara Thailand.
Hujan berterusan hampir 48 jam itu menjejaskan perjalanan dan rutin harian penduduk, selain menyebabkan beberapa kawasan berdepan limpahan air yang semakin meluas.
Keadaan tersebut mendorong orang ramai mendapatkan bekalan asas sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya makanan dan air minuman yang diperlukan sepanjang tempoh banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand, Supajee Suthumpun mengarahkan, pegawai supaya memantau secara dekat keadaan bekalan dan harga barangan di kawasan yang terjejas.
Kementerian Perdagangan Thailand berkata, bekalan barangan keperluan perlu terus tersedia dan dijual pada harga yang munasabah bagi memastikan penduduk tidak berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas.
Pejabat perdagangan wilayah turut diarahkan memantau kemungkinan berlaku kekurangan bekalan, kegiatan menyorok barangan serta kenaikan harga secara berlebihan.
Pegawai juga diminta bekerjasama dengan peruncit bagi memastikan stok dapat ditambah semula dengan segera sekiranya bekalan di premis tertentu mula berkurangan.
Pemantauan itu meliputi barangan keperluan harian yang menjadi tumpuan pengguna ketika situasi banjir, termasuk makanan dan air minuman.
Langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap peningkatan permintaan dengan menyorok barangan atau menaikkan harga secara tidak munasabah.
Kementerian Perdagangan turut menggesa pengguna melaporkan sebarang pelanggaran berkaitan bekalan dan harga kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, pemantauan terhadap bekalan dan harga akan diteruskan di kawasan terjejas bagi memastikan barangan keperluan kekal tersedia sepanjang tempoh banjir. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

