Lelaki Orang Asli cedera, tangan tersepit mesin pengisar daging

IPOH - Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang ayam di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham, di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian menimpa pekerja berusia 19 tahun itu pada jam 4.41 petang.
"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang dikejarkan ke lokasi kejadian mendapati mangsa masih berada dalam keadaan sedar semasa tangannya berada dalam mesin itu.
"Ketua operasi memohon bantuan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membius tangan mangsa kerana dia mengalami kesakitan ketika operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sabarodzi berkata, bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong mesin itu sehingga ke acuan mata pengisar namun tangan mangsa tidak berjaya dikeluarkan kerana ia diperbuat daripada keluli tahan karat.
Beliau berkata, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini susulan perbincangan dengan pihak KKM apabila keadaannya semakin lemah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
