Wanita Orang Asli hilang masih belum ditemui, SAR diperluas 14km

Kuang Poh, 73, dikatakan keluar rumah untuk pergi memancing kira-kira jam 3 petang pada 22 September lalu.
Kuang Poh, 73, dikatakan keluar rumah untuk pergi memancing kira-kira jam 3 petang pada 22 September lalu.
A
A
A

ROMPIN - Radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita Orang Asli yang disyaki hilang di kawasan hutan Kampung Lesong, Kedaik, di sini sudah diperluaskan sehingga 14 kilometer (km), namun masih tiada sebarang petunjuk ditemukan.

Mangsa, Kuang Poh, 73, dari Kampung Api Larat, Mukim Nebar, Pekan, dilaporkan keluar seorang diri untuk memancing di kawasan hutan paya berkenaan kira-kira jam 3 petang pada 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pencarian pada hari kelima ditumpukan di kawasan paya dan sungai dalam radius lima kilometer.

"Operasi masih dijalankan dan mangsa tidak meninggalkan apa- apa barang dan jejak untuk dikesan.

“Pencarian turut dibantu unit dron daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, unit dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM,” katanya pada Isnin.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan warga emas itu dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Lesong selepas keluar memancing di kawasan hutan paya di kampung terbabit sejak tiga hari lalu.

Mangsa disedari hilang selepas tidak pulang ke rumahnya pada hari berkenaan sebelum kehilangannya dilaporkan kepada polis oleh ahli keluarga.

Sharif Shai menambah, usaha pencarian berdepan cabaran kerana kawasan berkenaan terdedah kepada binatang buas seperti harimau bintang, harimau belang dan gajah.

“Bentuk muka bumi yang berpaya turut menyukarkan untuk masuk ke dalam kawasan pencarian," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!