Permintaan AI, semikonduktor pacu peluasan kapasiti pusat data utara

Pengarah Urusan Open DC, Wong Weng Yew, memberi gambaran keseluruhan ketersambungan digital di utara semenanjung dan serantau, yang menawarkan kepentingan mengenai potensi rantau ini dalam menjadi pintu gerbang digital Malaysia,seterusnya ke ASEAN
Pengarah Urusan Open DC, Wong Weng Yew, memberi gambaran keseluruhan ketersambungan digital di utara semenanjung dan serantau, yang menawarkan kepentingan mengenai potensi rantau ini dalam menjadi pintu gerbang digital Malaysia,seterusnya ke ASEAN
A
A
A

PENINGKATAN permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI), teknologi awan dan industri semikonduktor mendorong Open DC Sdn Bhd memperluaskan kapasiti dua kemudahan pusat datanya di Kedah dan Pulau Pinang bagi mengukuhkan infrastruktur digital di utara Semenanjung Malaysia.

Langkah tersebut melibatkan pembangunan hab kesalinghubungan rentas sempadan D8-1 di Bukit Kayu Hitam, Kedah serta peluasan kampus pusat data di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang disasarkan meningkat secara berperingkat kepada kapasiti 100 megawatt (MW).

Pengarah Urusan Open DC, Wong Weng Yew berkata, sebahagian besar kapasiti fasa awal telah ditempah, mencerminkan pertumbuhan kukuh permintaan pelanggan serantau terhadap kemudahan pusat data berprestasi tinggi.

Menurutnya, Open DC juga terus menggajikan bakat tempatan dan bekerjasama dengan institusi pendidikan serantau bagi membangunkan saluran latihan industri, dengan mengutamakan keupayaan, pemikiran dan kebolehsuaian di samping kelayakan akademik rasmi.

"Sebagai pengendali pusat data yang lama beroperasi di kawasan utara Semenanjung Malaysia, misi kami kekal sama iaitu membangunkan infrastruktur digital yang mampu memenuhi keperluan wilayah ini, melangkaui kluster tradisional.

"Kesalinghubungan dan kapasiti yang dipertingkatkan di wiayah utara ini menyokong sektor yang berkembang pesat termasuk AI, teknologi berasaskan awan, pembuatan termaju, logistik dan utiliti," katanya dalam kenyataan.

Kemudahan D8-1 yang terletak dalam Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (SBEZ), hanya lima minit dari sempadan Malaysia–Thailand, diposisikan sebagai hab rangkai padan bagi mengendalikan aliran trafik data rentas sempadan ASEAN.

Lokasi strategik tersebut membolehkan pusat data berkenaan memanfaatkan akses kepada laluan kabel darat dan dasar laut berhampiran, sekali gus menawarkan penghalaan data yang lebih langsung antara Malaysia dan negara-negara Indochina dengan kependaman lebih rendah serta kos rangkaian yang lebih efisien.

Sementara itu, kampus PE2 di Bayan Lepas yang mula beroperasi pada April 2025 bakal diperluaskan daripada kapasiti kuasa kritikal 30MW kepada 100MW mengikut kadar permintaan berasaskan kontrak pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Open DC, hampir 80 peratus kapasiti fasa awal PE2 telah ditempah oleh pelanggan daripada sektor semikonduktor, AI, pengkomputeran awan dan perusahaan.

Kemudahan tersebut turut direka bentuk untuk menyokong beban kerja AI menerusi dewan pengembangan modular berketumpatan tinggi sehingga 150 kilowatt bagi setiap rak, dengan pilihan penyejukan udara dan penyejukan cecair.

Dari aspek ekosistem digital, PE2 menempatkan nod pengangkutan Penang Internet Exchange oleh DE-CIX Malaysia selain menggabungkan penggunaan tenaga solar di tapak, perjanjian tenaga boleh diperbaharui dan sistem cekap tenaga yang selaras dengan aspirasi rendah karbon Pulau Pinang.

Open DC terus bekerjasama dengan pihak kepentingan ekosistem menerusi ekosistem kerjasama Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) bagi menyediakan kapasiti pusat data yang berskala dan selamat untuk firma reka bentuk semikonduktor serta syarikat teknologi di rantau ini.

-END-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!