Tiga rakyat Malaysia ditahan di Mauritius, seludup dadah bernilai RM9.87 juta

Tiga rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, ditahan pihak berkuasa Mauritius di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) selepas disyaki menyeludup lebih 70 kilogram (kg) dadah jenis ganja ke negara itu.
Tiga rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, ditahan pihak berkuasa Mauritius di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) selepas disyaki menyeludup lebih 70 kilogram (kg) dadah jenis ganja ke negara itu.
A
A
A

PORT LOUIS - Tiga rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, ditahan pihak berkuasa Mauritius di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) selepas disyaki menyeludup lebih 70 kilogram (kg) dadah jenis ganja ke negara itu.

Penahanan itu membawa kepada rampasan 70 bungkusan plastik yang mengandungi 76.14kg bahan tumbuhan disyaki ganja, dengan nilai pasaran dianggarkan 114.21 juta rupee Mauritius atau kira-kira RM9.87 juta.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) pada Rabu lalu, tiga individu terbabit terdiri daripada dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 30 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun.

Mereka tiba di lapangan terbang berkenaan dari Dubai dengan menaiki penerbangan Emirates EK709 sebelum dikenal pasti untuk pemeriksaan lanjut.

MRA memaklumkan, pemeriksaan dijalankan Seksyen Antinarkotik Kastam (CANS) selepas pegawai membuat penilaian terhadap profil penumpang dan menjalankan sesi soal jawab.

Hasil pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuk ketiga-tiga suspek menemukan 70 bungkusan plastik hitam berbentuk segi empat tepat yang dibungkus secara vakum.

Bungkusan berkenaan mengandungi bahan tumbuhan hijau yang disyaki ganja.

Semua bahan terlarang itu dirampas, manakala siasatan lanjut diserahkan kepada Unit Antidadah dan Antipenyeludupan (ADSU) Mauritius.

Sementara itu, laporan media Mauritius menyebut, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan Thailand.

Seorang daripada suspek dipercayai singgah di negara itu sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai dan seterusnya Mauritius.

Suspek lelaki berusia 30 tahun yang dilaporkan menetap di Singapura dan bekerja sebagai pegawai keselamatan dipercayai membawa kira-kira 10.9kg ganja.

Dua lagi suspek, iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 18 tahun yang dilaporkan tinggal bersama di Pulau Pinang, masing-masing membawa 32.5kg dan 32.6kg bahan disyaki ganja.

Dalam perkembangan berkaitan, modus operandi sama pernah dikesan pihak berkuasa Mauritius menerusi penahanan seorang tukang masak rakyat Malaysia di lapangan terbang berkenaan pada 23 Oktober lalu.

Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan selepas pihak berkuasa menemukan 17.8kg ganja dalam bagasinya.

Dia juga dilaporkan tiba dari Dubai menggunakan penerbangan Emirates EK709, iaitu penerbangan sama yang dinaiki tiga rakyat Malaysia yang ditahan pada 2 November lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!