104,000 lot kubur baharu untuk umat Islam di Wilayah Persekutuan

Hanifuddin berkata, tapak perkuburan awam baharu di Wilayah Persekutuan yang dibangunkan berkonsepkan TPIRS bakal menyediakan sehingga 104,000 lot kubur.
Hanifuddin berkata, tapak perkuburan awam baharu di Wilayah Persekutuan yang dibangunkan berkonsepkan TPIRS bakal menyediakan sehingga 104,000 lot kubur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tapak perkuburan awam baharu di Wilayah Persekutuan yang dibangunkan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) bakal menyediakan sehingga 104,000 lot kubur.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Hanifuddin Roslan berkata, kemudahan itu sekali gus mampu menampung keperluan pengebumian umat Islam bagi tempoh diunjurkan sehingga 28 tahun.

Menurutnya, projek itu adalah inisiatif Kerajaan Madani bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan awam umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin kritikal.

"Pembangunan di Lot PT3458 itu dijangka siap pada 2029 dan turut merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal serta infrastruktur sokongan lain.

"Apabila siap kelak, pengurusan tanah perkuburan ini akan diserahkan sepenuhnya kepada Jawi yang akan mengendalikan urusan pengebumian, pengurusan jenazah termasuk jenazah tidak berwaris serta penyelenggaraan kawasan perkuburan sebagaimana dilaksanakan di lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, projek itu dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn Bhd dengan Kerajaan Madani.

Menurutnya, selain membangunkan tapak perkuburan awam itu, syarikat berkenaan turut bertanggungjawab membina jalan pintas sepanjang 4.34 kilometer yang menghubungkan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK.

Hanifuddin turut menegaskan dakwaan kononnya urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan akan diswastakan adalah tidak benar.

Beliau berkata, hartanah yang terbabit dalam projek itu kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan telah diwartakan sebagai tanah perkuburan awam seluas 89 hektar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penyediaan tapak baharu itu penting bagi memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam di Wilayah Persekutuan terus mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan berikutan ruang sedia ada semakin berkurangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!