'Ini momen bersejarah' - Pengantin baharu curi tumpuan di pusat mengundi

Fifi Nur Khairin ditemani suaminya, Muhammad Arif Fahmi di pusat mengundi di SK LKTP Sungai Sayong, Kota Tinggi selepas selesai majlis akad nikah.
Fifi Nur Khairin ditemani suaminya, Muhammad Arif Fahmi di pusat mengundi di SK LKTP Sungai Sayong, Kota Tinggi selepas selesai majlis akad nikah.
A
A
A

KOTA TINGGI – Hari bahagia yang dinanti sejak hampir setahun lalu bertukar menjadi kenangan bermakna buat sepasang pengantin baharu apabila sempat menunaikan tanggungjawab membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini pada Sabtu.

Pasangan berkenaan, Fifi Nur Khairin Tamrin, 24, ditemani suaminya, Muhammad Arif Fahmi Nor Azli, 28, mencuri perhatian orang ramai apabila hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong sejurus selesai majlis akad nikah.

Fifi Nur Khairin berkata, tarikh perkahwinan mereka telah ditetapkan sejak Ogos tahun lalu, tanpa mengetahui ia akan bertembung dengan hari pengundian PRN Johor.

Katanya, mereka diijabkabulkan kira-kira jam 9 pagi sebelum bergegas ke pusat mengundi sekitar jam 10 pagi bagi menunaikan tanggungjawab.

Fifi Nur Khairin mengabadikan momen bersejarah selepas membuang undi pada hari perkahwinannya yang berlangsung sempena PRN Johor.
Fifi Nur Khairin mengabadikan momen bersejarah selepas membuang undi pada hari perkahwinannya yang berlangsung sempena PRN Johor.

"Mulanya memang sedih juga sebab takut majlis tidak dapat diteruskan, tetapi kami buat keputusan untuk kekalkan perancangan.

"Memang kelam-kabut sedikit kerana selepas akad nikah kami hanya sempat mengambil beberapa keping gambar sebelum terus datang mengundi. '

"Yang penting, sebagai rakyat kita perlu menunaikan tanggungjawab dan memilih pemimpin terbaik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengalaman hadir mengundi dengan busana nikah berona putih gading menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

“Memang malu juga sebab ramai yang memandang, tetapi bukan selalu dapat melalui pengalaman seperti ini.

“Ini momen yang cukup bersejarah. Sampai bila-bila saya akan ingat kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari perkahwinan sendiri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!