Tiga sekeluarga maut: 'Adik cuma sempat pegang tangan mak'

IPOH – Hasrat seorang anak menyelamatkan ibunya yang terperangkap dalam kebakaran di Taman Desa Tambun di sini tidak kesampaian apabila jeriji besi menghalang usaha berkenaan.
Raja Muhammad Syukri Raja Ahmad, 30, hanya sempat memegang tangan ibunya dari luar balkoni tingkat atas rumah sebelum wanita itu maut dalam kebakaran berkenaan.
Turut meninggal dunia dalam tragedi menyayat hati itu ialah bapanya, Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan anak saudara, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.
Menceritakan detik cemas itu, saksi kejadian, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, berkata, kejadian disedarinya selepas terdengar suara meminta pertolongan ketika dia sedang tidur di luar rumah berkenaan.

“Saya terus terjaga dan keluar. Mula-mula ingat rumah jiran sebab mereka selalu bermain-main. Bila pandang atas, baru nampak rumah saya (terbakar).
“Saya masuk semula dan apabila buka pintu, saya nampak dekat tangga sudah ada api. Saya dengar suara mak dan anak saudara dari tingkat atas dan api memang sudah marak manakala asap pula sudah memenuhi kawasan tangga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Raja Ikhwan berkata, dia sempat meminta anak saudaranya menunggu sebelum cuba mendapatkan bantuan, namun keadaan api yang marak menyebabkan usaha untuk masuk ke dalam rumah terbantut.
“Saya sempat beritahu, ‘Tunggu, tunggu sekejap. Tunggu Pak Long ni.’ Dia nak naik, tetapi kemudian keluar balik.
“Saya buka paip dan ingatkan boleh padam api, tetapi paip itu pendek dan tak sampai. Jadi memang tak boleh buat apa,” katanya.
Beliau berkata, Raja Muhammad Syukri kemudian cuba membantu ibunya dengan memanjat dari bahagian balkoni belakang rumah.
Katanya, jeriji besi di bahagian belakang rumah menghalang adiknya daripada memasuki rumah, namun dia masih sempat mencapai tangan ibunya dalam usaha membantu wanita itu turun ke bawah.

“Dia cuba bantu kawal supaya mak dapat turun ke bawah, tetapi api sudah menghalang laluan ke bahagian dapur.
“Adik memang biasa buat kerja pertukangan dan panjat-panjat, tetapi kali ini tak dapat masuk kerana ada jeriji,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Nik Abdurrahman, Helal Zamri, 37, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 5.30 pagi menerusi panggilan telefon ketika berada di rumahnya di Manjoi, di sini.

Katanya, anaknya itu tinggal bersama datuk dan neneknya sejak kecil dan mereka sering berjumpa.
“Anak memang selalu ikut saya menguruskan katering dan kali terakhir kami berjumpa minggu lalu.
“Saya reda dengan ketentuan ALLAH atas pemergian anak serta kedua-dua mentua saya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan pasangan suami isteri warga emas bersama cucu lelaki mereka ditemui maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun di sini awal pagi Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di sebuah rumah di 17 Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun pada jam 4 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

