Suami isteri bersama cucu rentung rumah terbakar

IPOH – Pasangan suami isteri warga emas bersama cucu lelaki mereka ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun di sini awal pagi Ahad.
Dalam kejadian tersebut, mangsa iaitu Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan isterinya, Zaitun Mohamed, 64, serta cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, ditemukan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di sebuah rumah di 17 Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun pada jam 4 pagi.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun tiba di lokasi pada jam 4.10 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat jenis kelas A berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki yang terbakar 70 peratus.
“Setibanya di lokasi, anggota mengesan terdapat mangsa terlibat dalam kebakaran.
“Seorang lelaki berusia 70 tahun ditemukan di dalam bilik air di tingkat bawah, manakala dua lagi mangsa iaitu lelaki berusia 18 tahun dan wanita berusia 64 tahun terperangkap di tingkat atas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sayani berkata, mangsa lelaki berusia 18 tahun ditemukan di bilik air tingkat atas, manakala mangsa wanita berusia 64 tahun ditemukan di dalam bilik tidur berhampiran tingkap.
Katanya, kesemua mangsa mempunyai pertalian keluarga dan rumah berkenaan dihuni enam orang, namun hanya empat penghuni berada di dalam rumah ketika kejadian.
“Seorang lagi penghuni, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, yang juga ahli keluarga, terselamat selepas tidur di ruangan parkir atau beranda luar rumah ketika kejadian.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan bersama anggota BBP Tambun dan BBP Ipoh membabitkan seramai 25 anggota.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran serta bantuan jentera FRT BBP Ipoh dan lori tangki air.
“Anggota turut memotong kunci pintu rumah jiran yang tidak berpenghuni bagi membolehkan kerja pemadaman dijalankan, selain memasang tangga di bahagian hadapan rumah untuk mengawal api daripada merebak,” katanya.
Sayani berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 4.45 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 8 pagi manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

