Perak tersenarai negeri bebas zon merah

Perkongsian kedudukan Perak bebas zon merah oleh Ahmad Faizal di Facebooknya hari ini.(Kanan: Data terkini perkembangan kes Covid-19 yang dikeluarkan KKM.)
Perkongsian kedudukan Perak bebas zon merah oleh Ahmad Faizal di Facebooknya hari ini.(Kanan: Data terkini perkembangan kes Covid-19 yang dikeluarkan KKM.)
A
A
A

IPOH - Perak tersenarai antara enam negeri yang bebas zon merah wabak koronavirus (Covid-19) berikutan bilangan pesakit aktif kurang 41 kes.

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam laman Facebooknya hari ini.

Ahmad Faizal berkata, data Kementerian Kesihatan menunjukkan Perak mempunyai bilangan kes aktif terendah iaitu 25 pesakit (9.9 peratus) yang masih menjalani rawatan berbanding 252 kes positif jangkitan Covid-19 direkodkan.

"Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat ALLAH SWT. Perak berada di kedudukan teratas dalam senarai negeri-negeri yang mencatatkan perkembangan terbaik memerangi penularan wabak Covid-19.

"Satu lagi khabar menggembirakan untuk dikongsi, Perak adalah satu daripada enam negeri yang bebas daripada klasifikasi zon merah bagi kes aktif, susulan penurunan jumlah kes jangkitan baharu," katanya.

Lima lagi negeri menerima pengiktirafan sama adalah Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Sesuatu kawasan dikelaskan sebagai zon merah apabila jumlah kes aktif melebihi 41, zon jingga (21 hingga 40 kes), zon kuning (1 hingga 20 kes) manakala zon hijau tiada rekod baharu kes aktif.

Ahmad Faizal berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha dan komitmen petugas barisan hadapan yang bekerja keras memastikan negeri ini selamat daripada penularan wabak lebih serius.

Artikel Berkaitan:

"Tahniah juga kepada semua rakyat negeri ini yang telah memberi komitmen terbaik mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Insya-ALLAH, terus patuhi PKP, amalkan penjarakan sosial, selalu cuci tangan dan jaga kebersihan diri, moh kita hijaukan semua daerah di negeri ini, Perak boleh!" katanya.

Setakat jam 12 tengah hari ini, Perak merekodkan 252 kes dengan empat daerah iaitu Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Muallim masing-masing sifar kes aktif.