Prosiding bukti tambahan Rosmah ditangguh ke 6 November

KUALA LUMPUR – Prosiding pendengaran untuk memasukkan bukti tambahan daripada saksi utama dalam kes rasuah, projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, ditangguhkan ke 6 November depan.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu untuk prosiding pengurusan kes, selepas peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu memberitahu, pihak pendakwaan telah membuat permohonan penangguhan berkenaan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
“Sebelum ini, pendakwaan memfailkan perakuan segera supaya pendengaran permohonan penangguhan di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan itu dengan secepat mungkin.
“Mahkamah kemudian menetapkan prosiding berkenaan dibuat pada jam 9 pagi sebentar tadi.
“Susulan itu, pihak pembelaan memutuskan untuk tidak membantah permohonan penangguhan tersebut,” katanya.
Justeru beliau berkata, panel hakim Mahkamah Rayuan membenarkan perkara tersebut sekali gus menyebabkan prosiding di Kuala Lumpur ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.
Beliau kemudiannya memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk memaklumkan perkembangan prosiding berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan perkara berkenaan dan memohon tarikh baharu untuk pengurusan kes.
Pada Khamis, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan untuk menangguhkan pendengaran bukti tambahan daripada saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah, sehingga rayuan pendakwa raya dilupuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing dan K Muniandy membenarkan permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memberitahu bahawa, ia tidak mendapat bantahan daripada pihak Rosmah.
Pada 1 September, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berhubung kes berkenaan.
Panel tiga hakim itu turut memerintahkan bukti tambahan melibatkan saksi pendakwaan ke-16, ahli perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi dalam tempoh dua minggu.
Rosmah, 75, memohon untuk mengemukakan bukti tambahan yang terdiri daripada laporan polis dan akuan berkanun yang disahkan Rayyan Radzwill.
Dalam akuan berkanun itu, Rayyan Radzwill antara lain mendakwa wujud tekanan pendakwaan ketika perbicaraan serta mengemukakan bahan dokumentari bagi mencabar kredibiliti keterangannya.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dia didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta.
Bagaimanapun, tertuduh diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

