Rosmah saman Harith Iskander, dakwa jadi mangsa 'body shaming'

Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap Harith Iskander di Mahkamah Tinggi susulan dakwaan penghinaan fizikal dalam persembahan stand-up comedy.
Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap Harith Iskander di Mahkamah Tinggi susulan dakwaan penghinaan fizikal dalam persembahan stand-up comedy.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander Musa di Mahkamah Tinggi di sini, susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal atau body shaming menerusi satu persembahan komedi.

Rosmah, 75, selaku plaintif memfailkan writ saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Harith sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan, saman itu berkaitan persembahan 'stand-up comedy' bertajuk 'Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour' yang diadakan di Swiss-Garden Hotel, Melaka pada 17 Januari lalu.

Rosmah mendakwa ketika persembahan berkenaan, Harith memaparkan imej makhluk mitologi yang digambarkan sebagai menyeramkan seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya sebagai sebahagian daripada naratif jenaka.

Beliau turut mendakwa Harith mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan yang gelap akan melihat sesuatu yang menakutkan, sebelum gambarnya dipaparkan kepada penonton.

Menurut Rosmah, tindakan itu memberi gambaran bahawa rupa parasnya dikaitkan dengan makhluk seram, sekali gus menjadikannya bahan ejekan dan penghinaan di hadapan khalayak.

Plaintif mendakwa kenyataan berkenaan dibuat secara terbuka dengan niat untuk merendahkan maruah, nama baik dan reputasinya melalui unsur kecaman terhadap fizikal.

Rosmah turut mendakwa rakaman persembahan itu kemudiannya dimuat naik ke beberapa platform media sosial termasuk TikTok sehingga ditonton ratusan ribu pengguna dan terus tersebar secara meluas.

Akibat penerbitan semula itu, Rosmah mendakwa beliau menerima kecaman, sindiran dan penghinaan, selain mengalami tekanan emosi, rasa malu serta kerosakan serius terhadap reputasi dan kedudukan sosialnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Rosmah menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain pampasan, beliau turut memohon mahkamah mengarahkan Harith Iskander menghentikan sebarang kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan memadam semua kandungan berkaitan daripada platform media sosial.

Selain itu, Rosmah turut memohon supaya defendan mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat serta menyiarkan penarikan balik kenyataan itu dalam sekurang-kurangnya dua akhbar arus perdana dan akaun media sosial yang dipersetujui.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!