Nelayan dikhuatiri lemas terjatuh ke laut

Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di perairan Sungai Baru, berhampiran Batu Layang, Simpang Empat, awal pagi Sabtu. Gambar hiasan
Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di perairan Sungai Baru, berhampiran Batu Layang, Simpang Empat, awal pagi Sabtu. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di perairan Sungai Baru, berhampiran Batu Layang, Simpang Empat, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mangsa, Khairul Amir Bahroom, 33, bersama abangnya menangkap udang di perairan berkenaan.

Beliau berkata, semasa di lokasi kejadian, mangsa yang tidak memakai jaket keselamatan tiba-tiba terjatuh ke laut.

"Abangnya cuba mencari mangsa di sekitar permukaan laut namun mangsa tidak timbul sebelum dia mengesyaki adiknya telah lemas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Yusharifuddin berkata abang mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat pada jam 5.53 pagi bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah diwujudkan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 12 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 10 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Turut digunakan ialah bot PAC 20 milik PDRM, Bot Benteng 07 milik APMM, bot penyelamat JBPM dan bot APM.

"Bot Benteng 07 bergerak ke lokasi pencarian pada 8.10 pagi manakala bot penyelamat JBPM pada jam 8.30 pagi,” katanya dan setakat ini mangsa belum ditemukan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!