Budak lelaki dikhuatiri lemas jatuh sungai

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, bersebelahan sebuah pasar raya, di Subang Jaya, malam ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.06 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.
"Berdasarkan laporan awal Komander Operasi, mangsa yang merupakan warga Indonesia dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya,” katanya dalam kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerusi kaedah pencarian di permukaan air kini giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pasukan penyelamat berdepan cabaran dalam operasi itu berikutan keadaan arus sungai yang agak deras.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam turut dipanggil bagi membantu operasi pencarian berkenaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
