Iltizam politik, kelangsungan sastera

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PADA 7 April lalu, saya mewakili Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyertai muzakarah bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. Turut hadir ialah Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan; Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan; Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr. Hassan Mad; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa dan Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Amir Hamzah.

Pertemuan kami berlaku dalam suasana santai dan mesra. Saya mengambil peluang untuk menjadi jurucakap golongan penulis dan pemain industri buku. Saifuddin sememangnya rapat dengan dunia sastera, malah beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Penulis di bawah Pena dahulu.

Saya membangkitkan isu perihal wabak Covid-19 yang mendatangkan masalah kepada penulis yang merangkumi penggiat persuratan, penulis, editor, pereka grafik, penerbit mandiri, penjual, aktivis sastera, pekerja syarikat penerbitan yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Sebenarnya sukar untuk mengklasifikasikan golongan penulis dan yang berkaitan dengan dunia perbukuan. Tiada satu sistem atau badan yang menjadi tempat rujukan tentang mereka dan tempat untuk mereka mengadu masalah.

Industri perbukuan adalah antara yang terjejas teruk kerana Covid-19. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ditangguhkan; buku tidak dapat dicetak. Yang sudah dicetak tidak boleh keluar dari kilang. Ini menjejaskan pendapatan penulis, ilustrator, editor, pereka grafik, penjual dan penerbit.

Menurut sumber, lanjutan daripada penangguhan PBAKL telah menyebabkan berlaku lambakan stok buku bernilai lebih RM74 juta melibatkan 138 syarikat penerbitan di seluruh negara. Ini sangat mempengaruhi aliran tunai syarikat dan akhirnya bakal memberikan akibat kepada operasi syarikat mahupun masa depan pekerja industri.

Akreditasi

Oleh itu, dengan bidang kuasa Saifuddin sebagai menteri, beliau mempunyai akses kepada menteri-menteri lain yang memiliki punca kuasa untuk membantu. Misalnya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh disarankan membeli sebahagian stok buku yang menepati kriteria untuk diedarkan kepada semua pusat sumber institusi pendidikan di bawah KPM.

Dalam tempoh yang tidak menentu sekarang, barulah dapat difikirkan betapa negara masih belum bersedia untuk menangani masalah penulis apabila bencana datang mendadak. Kita tidak ada bank data senarai penulis jika mahu membantu mereka dengan sistematik, kata Saifuddin.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin bersetuju bahawa satu mekanisme perlu diwujudkan untuk tujuan penyelarasan dan akreditasi penulis. Saya membangkitkan cadangan penubuhan sebuah yayasan yang dilengkapi kemudahan infrastruktur untuk menjadi badan penyelaras golongan penulis (kerana Pena sebuah persatuan penulis).

Lagipun, di negara ini terdapat berpuluh-puluh persatuan penulis yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak. Di bawah Gapena sahaja ada 22 persatuan yang ditubuhkan di seluruh negara, manakala puluhan persatuan lain lagi bergerak secara sendirian.

Jumlah penulis pun tidak dapat dipastikan lagi kerana kelayakan mereka untuk dikategorikan sebagai penulis pun belum ada satu kriteria yang muktamad. Rekod data keahlian persatuan pula sukar dijadikan rujukan kerana ramai penulis yang menganggotai lebih daripada satu persatuan.

Dalam masa gawat inilah kita sepatutnya bertindak menyusun semula sistem yang selama ini terabai, kata Saifuddin, menandakan keprihatinan beliau terhadap golongan penulis.

Menyedari minatnya untuk menangani perkara ini, saya cuba membangkitkan hasrat penubuhan sebuah yayasan penulis kerana sebelum ini pernah ada usaha dilakukan tetapi semuanya tersekat di tengah jalan. Beliau seperti berminat pada cadangan itu tetapi belum ada satu ketetapan dibuat dalam perbincangan. Barangkali ini bukan masa yang sesuai.

Dalam skala yang lebih besar, saya menyentuh bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) merupakan wadah penyaluran ideologi yang penting kerana di sana tersebarnya segala bentuk mesej kepada khalayak. Oleh itu, ruang dan bidang kuasa ini wajar dimanfaatkan dengan betul demi pembinaan negara bangsa.

Media kerajaan perlu berperanan untuk meneguhkan ideologi kenegaraan. Selain memberikan tempat kepada dunia sastera dan perbukuan dalam media elektronik rasmi kerajaan khususnya, elemen kefahaman budaya antara kaum wajar diterapkan kerana kejahilan tentang budaya kaum lain kerap menjadi punca pergeseran antara kaum di negara ini.

Setelah puluhan tahun merdeka, kita kasih berhadapan dengan masalah ini sedangkan semuanya ada di depan mata tetapi tidak dimanfaatkan. Bayangkan, berapa ramai pula pelajar Cina dan India yang hanya bersekolah di peringkat rendah di SJKC dan SJKT dan selepas tamat persekolahan mereka mungkin tercicir, memasuki alam pekerjaan, atau memasuki institusi pengajian di luar negara. Peluang untuk mereka berinteraksi dengan kaum lain dan mengenali aspirasi kebangsaan semakin sempit.

Mereka tidak terdedah kepada sistem pendidikan kebangsaan yang mengutamakan bahasa kebangsaan dan percampuran kaum. Jadi, media kerajaan perlu membantu menyebarkan kefahaman tentang budaya pelbagai kaum agar tidak terus-menerus wujud salah faham tentang budaya kaum lain.

Kita perlu sentiasa memperteguhkan perpaduan kaum melalui media popular ini. Peneguhan ideologi dalam bentuk hegemoni hendaklah dilakukan secara terancang agar negara sentiasa berada dalam suasana aman daripada provokasi melampau. Semua ini dapat dilaksanakan dengan iltizam politik. Jadi, terserahlah kepada kerajaan untuk menilai pandangan ini.

*Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)