[VIDEO] Pendakwaan mohon jaminan RM1 juta terhadap Abdul Azeez

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan jaminan RM1 juta terhadap bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, kes rasuah yang dihadapi ahli politik itu termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau tidak membantah sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan selesai.
Menurutnya, jumlah tersebut munasabah dan tidak keterlaluan dengan mengambil kira keseriusan pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman berat.
“Pihak pendakwaan mencadangkan kadar jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia yang bukan ahli keluarga tertuduh.
“Faktor lain yang perlu dipertimbangkan ialah kedudukan Abdul Azeez dalam masyarakat serta wujud risiko untuk melarikan diri,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan 'Atirah Mohd Azuarizanuddin.
Sementara itu, Chin How memohon supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sepanjang kes berkenaan berjalan.
Menurutnya, penyerahan pasport kepada mahkamah bukan sesuatu yang janggal atau perkara baharu dalam prosiding jenayah.
Sekiranya tertuduh mempunyai keperluan untuk ke luar negara, beliau berkata, permohonan boleh dibuat kepada mahkamah bagi mendapatkan semula dokumen perjalanan itu.
Beliau berkata, langkah tersebut tidak menjejaskan hak tertuduh untuk ke luar negara kerana permohonan berkenaan boleh dipertimbangkan mahkamah dan pihaknya tidak pernah melengah-lengahkan proses sedemikian.
“Kemungkinan tersebut tetap wujud dan perlu diambil kira ketika mahkamah menentukan syarat jaminan.
“Bagaimanapun, jika mahkamah tidak bersetuju dengan cadangan penyerahan pasport, pendakwaan memohon supaya syarat tambahan lain dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk kewajipan melaporkan diri secara berkala kepada pihak berkuasa, selain menetapkan jumlah jaminan yang tinggi bagi memastikan kehadirannya sepanjang prosiding.
Pendakwaan turut menegaskan bahawa syarat berkenaan bertujuan memastikan Abdul Azeez hadir ke mahkamah dan tidak menjejaskan perjalanan perbicaraan.
Pada Rabu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.
Susulan itu, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez meluahkan kekecewaan apabila pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan mencecah jutaan ringgit.
Bukan itu sahaja beliau berkata, pendakwaan meletakkan dua penjamin tempatan dan bukan ahli keluarga sebagai suatu yang tidak wajar.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim, Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM450,000 dengan dua penjamin tempatan dan memenuhi syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM tiga bulan sekali.
Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.
Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari, bermula 27 Ogos hingga 2 September, bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.
Siasatan itu susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

