Pemimpin kerajaan sepatutnya tunjuk contoh yang baik

Perkongsian Zambry di Twitter hari ini.
Perkongsian Zambry di Twitter hari ini.
A
A
A

IPOH - Penularan gambar-gambar majlis makan yang dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini disifatkan sebagai 'dua darjat'.

Perkara itu dikongsi Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Twitternya.

Beliau berkata, ramai pihak berkongsi gambar kehadiran Ahli Parlimen Bagan Serai itu dan dibandingkan dengan tindakan terhadap jemaah berkumpul di masjid.

"Ada orang hantar gambar antara dua darjat kepada saya.

"Gambar Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak sedang jamu selera beramai-ramai. Posting di sosial media lagi.

"Jemaah surau diambil tindakan, menteri dikecuali undang-undang," tulisnya.

Menurutnya, sebagai pemimpin kerajaan, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, tindakan berkumpul itu seolah-olah mereka terkecuali daripada pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sendiri oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat nak teladan YB (Yang Berhormat) semua. Silap, minta maaf," katanya.

Terdahulu, Dr Noor Azmi memuat naik di Facebook beberapa gambar lawatannya ke sebuah maahad tahfiz di Lenggong semalam.

Turut dikongsikan gambar makan beramai-ramai bersama Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria.

Status berkenaan bagaimanapun dipadam selepas tular dan reaksi netizen mendakwa beliau telah melanggar pematuhan PKP.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan adil terhadap mana-mana kesalahan ingkar PKP meskipun melibatkan ahli kerajaan atau parti politik.

Katanya, sebelum ini 10 lelaki yang sedang menunggu waktu untuk mengerjakan solat Isyak berjemaah di Masjid Sayong Tengah, Kuala Kangsar telah ditahan kerana melanggar PKP, justeru kunjungan dua pemimpin itu tidak wajar diberi pengecualian.

"Iktibar boleh diambil dari negara New Zealand di mana seorang Menteri Kesihatan telah meletakkan jawatan selepas mengaku melanggar perintah berkurung," katanya.