Batal Akta Hasutan: Tak boleh bincang terbuka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang menyatakan niat untuk meminda atau membatalkan Akta Hasutan 1948 tanpa mendapatkan sembah perkenan daripada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ia selaras Seksyen 4(1)(a) di bawah Akta Hasutan 1948 yang menyebut mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut.

Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, berdasarkan seksyen itu, individu yang mencadangkan supaya Akta Hasutan dibatalkan sama di Parlimen atau dibuat secara perbincangan terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya apabila disabitkan bersalah bagi kesalahan kali pertama.

"Jika ada cadangan membangkitkan Akta Hasutan dibatalkan di Parlimen atau dibincang secara terbuka pun salah kerana ia perlu mendapatkan sembah maklum Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Apa yang penting dalam Akta Hasutan ialah tak boleh persoalkan perkara-perkara sensitif iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan raja-raja sebagai ketua agama Islam," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas 1 Ahli Lembaga Penasihat & Pengerusi-Pengerusi Biro MPM di Wisma MPM, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: KDN kaji enam akta untuk pinda atau mansuh]

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian itu sedang mengkaji enam akta termasuk Akta Hasutan 1948 sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan.

Beliau berkata, KDN akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan akta-akta itu dan hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Aziz menyifatkan Akta Hasutan 1948 sebagai ibu segala undang-undang kerana ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan melainkan dengan persetujuan majoriti dua pertiga di Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja.

Malah katanya, akta itu digubal bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi turut merangkumi semua bangsa dan menyeluruh.

"Akta ini adalah undang-undang untuk menyelamatkan negara.

"Jika terdapat cadangan pindaan sekalipun, maka cadangan tersebut perlu disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Ia perlu dilakukan walaupun pihak yang mencadangkan pindaan itu yakin mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen. Selepas itu boleh dibentangkan di Parlimen dan selepas mendapat persetujuan majoriti dua pertiga, ia hendaklah dibawa semula ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, Majlis Raja-Raja dalam satu mesyuarat dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 Jun 2014 membuat keputusan bahawa Akta Hasutan 1948 tidak boleh dimansuhkan susulan memorandum bantahan MPM terhadap hasrat kerajaan berhubung cadangan membatalkan akta berkenaan.

"Majlis Raja-Raja telah menolak hasrat kerajaan ketika itu (untuk membatalkan Akta Hasutan) dan semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno PAU 2016, Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden Umno ketika itu) buat pengumuman bahawa Akta Hasutan tidak akan dihapuskan," katanya.