Saringan Komuniti Meluas dipantau PKD

Jawapan Dr Dzulkefly berhubung beberapa persoalan yang timbul mengenai saringan komuniti besar-besaran di Hulu Selangor yang dikongsikan di Faceebook STFC.
Jawapan Dr Dzulkefly berhubung beberapa persoalan yang timbul mengenai saringan komuniti besar-besaran di Hulu Selangor yang dikongsikan di Faceebook STFC.
A
A
A

SHAH ALAM - Gerak kerja operasi Saringan Komuniti Meluas (Mass Community Testing) yang dilaksanakan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dipantau oleh pusat kesihatan daerah (PKD).

Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga terlibat dalam mesyuarat gerak kerja operasi dan bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dituruti bersandarkan tatacara dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, timbul beberapa persoalan daripada orang ramai berhubung gerak kerja Saringan Komuniti Meluas yang dijalankan di Hulu Selangor (Fasa 1) baru-baru ini.

“Ada yang mempersoalkan peralatan perlindungan diri (PPE) diguna pakai berulang kali bagi lawatan rumah ke rumah yang mungkin sudah tercemar.

“PPE digunakan ketika pelaksanaan saringan komuniti secara besar-besaran di Hulu Selangor baru-baru ini mengikut tatacara dan SOP yang dipantau oleh pusat kesihatan daerah (PKD),” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook STFC.

Mengenai persoalan ujian rumah ke rumah akan menyebabkan penghuni rumah yang sihat dijangkiti koronavirus (Covid-19), Dr Dzulkefly berkata, ujian saringan adalah untuk memastikan penduduk berisiko tinggi di kawasan zon merah dapat disaring terutamanya warga emas.

Katanya, saringan awal dapat memastikan tahap kesihatan golongan itu dan sebarang langkah intervensi dapat dilaksanakan awal sekiranya didapati positif.

“Bagi persoalan KKM tidak mengesahkan tindakan STFC untuk lakukan saringan dari rumah ke rumah menggunakan ‘serology rapid test kid’, adalah dimaklumkan operasi ini tidak menggunakan peralatan itu kerana tidak diluluskan KKM.

Artikel Berkaitan:

“Ujian saringan ini menggunakan ujian real time polymerase chain reaction (RT-PCR) seperti diluluskan oleh KKM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 12 April lalu seramai 500 penduduk Hulu Langat telah disaring oleh petugas sukarelawan Selcare Clinic bagi mengesan lebih awal mereka yang positif Covid-19.

Pengesanan tersebut dibuat sebelum ia menjadi lebih serius dan merebak serta berjangkit kepada orang lain.

“Pasukan perubatan menerima reaksi positif daripada masyarakat memandangkan ia memberi kebaikan kepada penduduk,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan negeri akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk negeri ini melibatkan beberapa lokaliti yang telah dikenal pasti bermula Jumaat lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri membuat keputusan bagi melakukan ujian saringan itu secara besar-besaran susulan daripada peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan sekitar 1,000 ke 1,200 penduduk di negeri akan melakukan ujian saringan terbabit.