Johor salur bantuan kepada rakyat bukan penerima BPN, BSH

Datuk Ir Hasni Mohammad
Datuk Ir Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor akan menyalurkan bantuan tunai antara RM250 dan RM500 kepada rakyat yang tidak menerima sebarang bantuan sama ada Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagai inisiatif membantu rakyat berhadapan kesan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pengagihan bantuan yang turut membabitkan golongan M40 itu akan bermula minggu depan.

Menurutnya, bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif terbabit, Pusat Maklumat Ihsan Johor memerlukan setiap pemohon memaklumkan latar belakang sama ada mereka bekerja sendiri, diberhentikan kerja atau mempunyai tanggungan ramai.

“Berdasarkan maklumat yang dibekalkan mereka akan diberi pemarkahan untuk melayakkan menerima RM250 atau satu jumlah yang lain.

"Setiap pemohon juga diperlukan menyatakan kaedah bantuan tersebut disampaikan bagi memudahkan pihaknya melaksanakan pemberian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam bicara berhubung Inisiatif Johor Memerangi Covid-19 yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi UMNO Online malam tadi.

Hasni berkata, pembayaran bantuan itu akan menggunakan kaedah melalui akaun bank yang dimaklumkan atau sekiranya tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh berurusan dengan Pejabat Daerah melalui penghulu atau ketua kampung.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan Johor akan menyediakan geran galakan sebanyak RM200 seorang kepada golongan terbabit bagi memastikan mereka berupaya memasarkan produk secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri telah melantik dua syarikat yang akan menyediakan platform untuk berniaga secara atas talian. Kita akan bantu dari segi aspek pemasaran dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Maklumat mengenainya (geran dan penyedia platform niaga dalam talian) boleh diperoleh di laman sesawang PBT masing-masing. Mereka juga akan dihubungi oleh penyedia platform ini melalui data pendaftaran bersama PBT,” katanya.