MBSP tetap teruskan e-Bazar Ramadan

Rozali Mohamud
Rozali Mohamud
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan tetap meneruskan penganjuran e-Bazar Ramadan selepas mendapati perlaksanaannya tidak bercanggah dengan larangan seperti yang diumumkan kerajaan, semalam.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, konsep e-Bazar Ramadan yang beroperasi melalui atas talian itu mengumpulkan semua peniaga secara 'virtual market place' dan makanan yang ditempah akan dihantar melalui khidmat penghantar yang dilantik.

Menurutnya, tiada bazar terbuka dilakukan malah pandu lalu serta tempah dan ambil (pack and pick) juga tidak dibenarkan.

"Konsep e-Bazar Ramadan yang diketengahkan pihaknya adalah secara dalam talian dengan tidak membabitkan kontak secara langsung dengan pembeli, peniaga dan perkhidmatan penghantaran ambil bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Beberapa kali saya meneliti ucapan dan kenyataan daripada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakin dan mendapati pelaksanaan e-Bazar MBSP ini tidak bercanggah sama sekali dengan apa yang dimaksudkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MBSP di sini hari ini.

Bagaimanapun, Rozali berkata, pihaknya bersedia untuk menghentikan penganjuran e-Bazar Ramadan berkenaan sekiranya apa yang diusahakan ini tidak dibenarkan oleh kerajaan.

Katanya, MBSP mengambil inisiatif ini berhati-hati dengan mengikuti arahan kerajaan kerana apa yang lebih penting adalah isu keselamatan untuk memutuskan rantaian Covid-19 menjadi yang keutamaan.

Selasa lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melancarkan portal e-Bazar Ramadan MBSP bagi membantu peniaga yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rozali berkata, portal e-Bazar Ramadan itu akan mengumpulkan pautan laman web, Facebook dan aplikasi WhatsApp peniaga berdaftar di seluruh Seberang Perai yang menyediakan produk makanan atau bukan makanan seperti pakaian, kasut, barangan runcit serta kuih-muih keperluan raya dalam bentuk e-katalog.

Katanya, konsep e-Bazar MBSP adalah bermula apabila pembeli membuat pesanan melalui portal kemudian penjual akan menyiapkan tempahan kemudian dihantar ke satu pusat pengumpulan yang ditetapkan seterusnya syarikat penghantaran berdaftar akan menghantar pesanan kepada pembeli.