Pasangan kekasih dijel ingkar PKP, halang tugas polis

Muhammad Haikal Faaiz dan teman wanitanya Nur Aisyah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang penjawat awam.
Muhammad Haikal Faaiz dan teman wanitanya Nur Aisyah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang penjawat awam.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sepasang kekasih dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh Muhammad Haikal Faaiz Ramlan, 25, dan teman wanitanya Nur Aisyah Zakaria,19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa berhimpun di kawasan tempat jangkitan untuk melepak mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bagi pertuduhan kedua, mereka juga secara bersama-sama menghalang tugas Koperal Mohammad Hasry Hassan dengan melarikan diri selepas diminta untuk berhentikan kenderaan kerana melanggar lampu isyarat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di persimpangan tiga lampu isyarat Rumbia kira-kira jam 7 hingga 7.30 malam pada 12 April lalu.

Bagi pertuduhan kesalahan ingkar PKP, kedua-dua tertuduh dihukum penjara tiga bulan manakala bagi kesalahan menghalang penjawat awam, mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan hampir sebulan PKP dilaksanakan.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Selain Aisyah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, Muhammad Haikal Faaiz turut membuat rayuan dengan alasan perlu menjaga ibu yang menghidap ketumbuhan otak manakala Nur Aisyah memohon hukuman diringankan.

Ahmad Sazali kemudian memerintah hukuman berjalan serentak bermula tarikh tangkap 13 April lalu menjadikan hukuman hanya enam bulan penjara bagi setiap tertuduh,

Sementara itu, Muhammad Haikal Faaiz turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh dia ditangkap dan denda RM5,000 selain hilang kelayakan lesen memandu kelas D selama dua tahun bermula hari ini atas pertuduhan di bawah Sesyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu dia turut menghadapi pertuduhan memberi kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 29 Mei depan sementara menunggu laporan patologi.

Selasa lalu, Sinar Harian menyiarkan seorang pemuda berusia 25 tahun yang keluar bersama teman wanitanya berusia 18 tahun bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah cuba melarikan diri apabila ditahan polis.

Video memaparkan individu yang memandu kereta kancil berwarna kelabu dikejar Unit Kereta Peronda (MPV) ketika Ops Covid-19 tular di media sosial.