Rumah dua kali dilanda ribut dalam seminggu

Mohd Zairi menunjukkan bumbung di bahagian dapur rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.
Mohd Zairi menunjukkan bumbung di bahagian dapur rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.
A
A
A

KODIANG - Sebuah keluarga di Kampung Manggol Bongor, Mukim Putat di sini reda apabila rumah mereka rosak akibat ribut kali kedua semalam dalam tempoh seminggu.

Suri rumah, Noor Ashikin Husin, 37, berkata, dia belum pun sempat membaiki kerosakan yang berlaku pada Jumaat lepas, tetapi telah diuji kali kedua dengan kerosakan baharu.

Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan bumbung di bahagian dapur rumahnya tercabut dan diterbangkan angin.

"Ketika kejadian, saya dengan ahli keluarga yang lain berada di dapur untuk minum petang sebelum dengar bunyi angin kuat berserta guruh dan kilat.

"Kami yang ketakutan terus beredar dari dapur. Tidak lama kemudian, dengar bunyi kuat di luar sebelum menyedari bumbung dapur sudah diterbangkan angin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan ruang dapur rumah mereka dipenuhi air hujan.

"Saya dan suami, Mohd Zairi Jarham, 25, kemudiannya telah membuat laporan polis dan memaklumkan kepada penghulu mengenai kerosakan yang dialami.

Artikel Berkaitan:

Noor Ashikin dan suaminya Mohd Zairi menunjukkan bumbung di bahagian dapur rumah mereka yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.
Noor Ashikin dan suaminya Mohd Zairi menunjukkan bumbung di bahagian dapur rumah mereka yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.

"Kerosakan yang berlaku ini memerlukan kos sekitar RM10,000 untuk dibaiki. Walaupun susah hati tengok keadaan rumah apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kami sekeluarga reda," katanya.

Tambahnya, ketika kejadian, suaminya yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu tiada di rumah kerana sedang bertugas.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, setakat ini dilaporkan lebih 18 buah rumah terjejas akibat ribut petang semalam.

"Kejadian membabitkan penduduk di tujuh buah kampung termasuk Kampung Melele, Kampung Seberang Melele, Kampung Manggol Bongor, Kampung Megat Dewa, Kampung Belukar, Kampung Kubang Chenok dan Kampung Putat," katanya.