Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang zahir rasa syukur

Sidang DUN Pulau Pinang hanya dijalankan selama dua jam di Dewan Sri Pinang tadi.
Sidang DUN Pulau Pinang hanya dijalankan selama dua jam di Dewan Sri Pinang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas hari ini menzahirkan rasa syukur kerana kerajaan Pulau Pinang mampu berdepan cabaran melawan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow juga mentadbir negeri ini dengan cemerlang apabila melaksanakan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM75 juta walaupun tidak mempunyai sumber kewangan yang besar.

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kon Yeow kerana mentadbir Pulau Pinang dengan cemerlang pada saat negeri dan negara dilanda wabak Covid-19. Saya percaya Kon Yeow dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri melaksanakan tanggungjawab dan memberikan komitmen yang terbaik.

"Ia bagi memastikan perkhidmatan kerajaan negeri khususnya dapat berfungsi tanpa sebarang masalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 tadi.

Kon Yeow menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki Dewan Sri Pinang tadi.
Kon Yeow menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki Dewan Sri Pinang tadi.

Abdul Rahman turut mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja barisan hadapan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam misi pencegahan penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, Persidangan Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang Ke-14 hanya diadakan selama dua jam bermula jam 9.30 pagi di Dewan Sri Pinang di sini.

Artikel Berkaitan:

Persidangan itu diadakan tanpa pembantu khas, petugas dari pejabat Exco dan petugas media dan semua yang menghadiri persidangan itu perlu melalui proses saringan suhu badan dan sanitasi tangan.

Selain itu, kedudukan setiap ADUN diatur mengikut jarak sosial seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).