YCK, Komuniti Ismaili Muslim bantu keluarga kurang mampu

Wakil Komuniti Ismaili Muslim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima bantuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Wakil Komuniti Ismaili Muslim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima bantuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Chow Kit Malaysia (YCK) menjalinkan kerjasama dengan Komuniti Ismaili Muslim bagi membantu 60 keluarga sekitar Kuala Lumpur yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Difahamkan, antara penerima bantuan itu adalah daripada keluarga golongan muda yang menganggur atau mereka yang berisiko untuk dipinggirkan.

Pengasas YCK, Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, inisiatif terbabit merupakan jalinan kerjasama sulung antara pihaknya dengan Komuniti Ismaili Muslim bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Antara bantuan yang disampaikan adalah meliputi barangan keperluan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, telur dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Hartini berkata, pihaknya turut berbesar hati dengan penglibatan Komuniti Ismaili Muslim dalam inisiatif itu yang sentiasa menyediakan bantuan kepada kanak-kanak dan keluarga daif memerlukan dalam keadaan sukar ini.

“Selain inisiatif ini, YCK turut menyediakan perkhidmatan sokongan terdiri daripada pendidikan, kaunseling, pekerjaan, tempat tinggal dan tempat asuhan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Artikel Berkaitan: