400 anggota PGA bebas Covid-19, jalani sanitasi selepas operasi

Anggota dan pegawai PGA yang selesai menjalani penugasan di sempadan selama sebulan diberikan sanitasi bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Anggota dan pegawai PGA yang selesai menjalani penugasan di sempadan selama sebulan diberikan sanitasi bagi mengelak jangkitan Covid-19.
A
A
A

KUANTAN - Semua 400 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara yang selesai penugasan selama sebulan mengawal sempadan Malaysia- Thailand dalam Ops Wawasan di Kelantan didapati bebas daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Ajutan Batalion 7, Pasukan Gerakan Am, Briged Tenggara, Asisten Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, bagaimanapun kesemua mereka perlu menjalani proses sanitasi bagi mengawal infeksi virus Covid-19 sejurus pulang kerja-kerja pengawalan sempadan terbabit.

Menurutnya, proses sanitasi ini bagi memastikan setiap anggota dan pegawai yang baharu pulang dari operasi, berada dalam keadaan bersih dan disaring kesihatan mereka sebelum dibenar pulang menemui keluarga.

"Mereka ini (anggota dan pegawai PGA) sudah sebulan ditugaskan untuk menjaga pintu masuk utama di Pangkalan Kubur, Bukit Bunga dan Rantau Panjang dengann menjaga Pos Statik yang beroperasi 24 jam.

Ujian saringan kesihatan turut dilakukan terhadap mereka.
Ujian saringan kesihatan turut dilakukan terhadap mereka.

"Mereka ini telah manjalankan rondaan berkereta dan motosikal bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pencerobohan sempadan negara berlaku termasuk di ‘laluan tikus’.

"Sehingga kini, kita dapati tiada pegawai dan anggota PGA didapati postif Covid-19 sepanjang penugasan mereka di barisan hadapan," katanya selepas Operasi Sanitasi Awam di Markas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Kem Bukit Galing,malam tadi.

Dalam pada itu, Ku Majidin berkata, proses sanitasi terbabit dilakukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang (JBPM) serta pasukan perubatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abd Ghani berkata, operasi sanitasi awam itu membabitkan 40 pegawai dan anggota bomba termasuk dua jentera dan sebuah jentera Hazmat.

"Selain proses nyah cemar, anggota berkenaan turut di saring tahap kesihatan masing-masing bagi memastikan mereka bebas daripada gejala Covid-19," katanya.