Lelaki didenda RM1,100 ingkar PKP, keluar kata kesat

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang juruaudit didenda RM1,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung pertuduhan ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada polis.

Ammar Wan Daud, 35, sebelum itu mengaku salah terhadap dua pertuduhan berasingan itu yang dibacakan di hadapan Majistret M Saravanan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah bergerak dari kediamannya pada jam 6 petang, di Selangor ke sekatan jalan raya di Ampang, Kuala Lumpur yang merupakan kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara diperuntukkan 3(1) PPPD 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), No 2 2020.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah berkelakuan kurang sopan iaitu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam yang kemungkinan akan memecahkan keamanan di lokasi sama.

Kali ini dia didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama itu, dia dijatuhi hukuman denda RM1,000 sementara denda RM100 bagi pertuduhan kedua.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di mahkamah sama, lapan individu masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 hari selepas mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar PKP iaitu dengan berhimpun dalam kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah.

Kesemua tertuduh memohon untuk dipenjarakan selepas mereka gagal membayar denda maksimum RM1,000 dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu 17 individu lagi termasuk dua warga asing turut didenda RM1,000 atau 15 hari penjara jika gagal membayar denda itu akibat melanggar PKP.

Mereka ditahan ketika berhimpun di kawasan wabak tanpa mempunyai maksud yang sah di sekitar bandar ini dalam OP Covid 19 yang dijalankan pihak Polis di Raja Malaysia (PDRM) di sekitar bandar tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang.