PKP: Daftar dalam talian sebelum derma darah

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA TENGAH - Orang ramai yang ingin menderma darah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)di Melaka disaran supaya membawa buku merah dan mendaftar secara dalam talian bagi memudahkan pergerakan dan urusan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Melaka, Mohd Suhairy Sazali berkata, menerusi pendaftaran itu, penderma akan menerima slip yang tertera masa dan lokasi ditetapkan sebagai dokumen sokongan jika melalui sekatan jalan raya.

"Bekalan darah sememangnya amat diperlukan sepanjang masa. Bekalan darah di Melaka untuk jenis darah O dan AB masih pada tahap selamat manakala jenis darah A dan B pada tahap sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kempen Derma Darah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Menurutnya, selain Hospital Melaka, program sama turut diadakan di Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin.

Sementara itu, Pengarah JBPM Melaka Abu Obaidat Mohamad berkata, program itu diadakan sebanyak dua siri iaitu minggu lalu dan hari ini dengan dua sesi pagi dan petang melibatkan pegawai dan anggota dari 10 balai bomba di negeri ini.

”Pada sesi pertama seramai 43 orang menderma pada siri pertama kempen derma darah ini diadakan minggu lepas dan hari ini setakat jam 12 tengah hari seramai 21 orang telah menderma,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: