Video tangkapan tular, rupanya warga emas buat kecoh di kedai serbaneka

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas didakwa mengamuk, mengeluarkan kata-kata kesat dan mengacukan berus pencuci terhadap pekerja serta mengganggu pelanggan di sebuah kedai serbaneka di Larkin, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azri Hisham Mohd Shaffei berkata, sebelum itu pihaknya menerima satu video tular yang dimuat naik di media sosial memaparkan dua anggota polis sedang melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki warga emas.
"Semakan lanjut mendapati suspek berusia 69 tahun itu ditahan dua anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira jam 1.50 petang.
“Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengurus kedai berkenaan kira-kira jam 4.55 petang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Azri Hisham, berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang apabila suspek didakwa memaki hamun mangsa yang juga rakan sekerja pengadu selain mengganggu pelanggan lain.
“Suspek turut membawa sebatang berus pencuci dan mengacukannya kepada pengadu serta mangsa sebelum mengeluarkan kata-kata kesat di dalam kedai.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila suspek mendakwa mangsa tidak memulangkan wang baki selepas membuat pembayaran,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan di hadapan kedai berkenaan selepas berlaku pergelutan ketika anggota polis menjalankan tangkapan.
“Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua-dua anggota polis dan berlaku pergelutan sehingga pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan minima.
“Sebatang besi berus pencuci yang dipercayai digunakan ketika kejadian turut dirampas,” katanya.
Tambahnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan aib dan tidak senonoh.
"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100," tambahnya.
Menurut beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu dan direman selama empat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video kejadian berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

