Denda RM21 atau cuci kampung jika guna kata-kata kesat

BURHANPUR – Sebuah kampung di negeri Madhya Pradesh, India mengambil pendekatan tegas dengan mengenakan denda sebanyak Rs500 (kira-kira RM21) atau kerja pembersihan selama satu jam kepada mana-mana individu didapati menggunakan kata-kata kesat.
NDTV melaporkan peraturan itu dilaksanakan di Kampung Borsar, daerah Burhanpur, menerusi keputusan sebulat suara oleh pihak Gram Panchayat sebagai usaha membentuk masyarakat lebih beradab.
Poster mengenai peraturan tersebut turut dipaparkan di seluruh kawasan kampung bagi memberi kesedaran kepada penduduk.
Timbalan Sarpanch, Vinod Shinde berkata, langkah itu diperkenalkan bagi membendung penggunaan kata-kata kesat yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak.
"Sebelum ini, kata-kata kesat sering digunakan termasuk yang menyentuh ibu dan saudara perempuan.
"Sekarang, sesiapa yang melanggar peraturan perlu membayar denda atau melakukan kerja pembersihan selama sejam," katanya.
Menurut beliau, langkah itu menunjukkan kesan positif apabila penduduk kini lebih berhati-hati dalam percakapan, selain mendapat pujian daripada kampung berhampiran.
Seorang penduduk, Jayshree berkata, suasana kampung kini lebih harmoni apabila penggunaan bahasa kesat semakin berkurangan.
"Kanak-kanak sebelum ini sering menggunakan kata kesat tanpa memahami kesannya, walaupun telah ditegur. Kini keadaan sudah berubah," ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ashwin Patil menjelaskan, kempen ‘Abuse-Free Village’ tercetus susulan kebimbangan terhadap golongan remaja berusia 12 hingga 13 tahun yang dilihat semakin biasa menggunakan kata-kata kesat.
Katanya, idea tersebut dibincangkan bersama kepimpinan kampung sebelum dipersetujui dan dilaksanakan secara rasmi, termasuk melalui pengedaran pekeliling serta ikrar bersama penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

