Pergelangan tangan anggota polis putus ditetak warga asing berjaya disambung semula

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melawat Lans Koperal Theirry Rodger Fendy. Foto PDRM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melawat Lans Koperal Theirry Rodger Fendy. Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pergelangan tangan kanan anggota polis yang putus selepas ditetak warga asing dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong pada Rabu berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan perkembangan positif itu yang menyaksikan anggota polis berkenaan dilaporkan sudah sedar dan ibu jarinya mula menunjukkan sedikit pergerakan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut melawat anggota berkenaan bagi meninjau keadaan kesihatannya.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis, anggota berkenaan dikenal pasti sebagai Lans Koperal Theirry Rodger Fendy, 26, yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Menurut kenyataan itu, mangsa mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus selepas ditetak suspek ketika menjalankan tugas.

"Mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya.

"Dalam lawatan tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Tan Sri Mohd Khalid turut menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan anggota berkenaan serta memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada beliau dan keluarga," menurut kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melawat anggota berkenaan bagi meninjau keadaan kesihatannya. Foto PDRM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melawat anggota berkenaan bagi meninjau keadaan kesihatannya. Foto PDRM

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, Timbalan Pengarah Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti Bukit Aman, Datuk Suryani Sungit serta Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohammad Mashdik Yahya.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Sazalee Adam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin dan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!