Godam MyIMMs: PLKS diluluskan tidak sah guna maklumat palsu - JIM

 Zakaria
Zakaria
A
A
A

PUTRAJAYA - Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah oleh sindiket godam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dipercayai menggunakan paparan maklumat palsu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ini susulan pelaksanaan operasi dan serbuan pihaknya membabitkan pemegang PLKS tidak sah terbabit.

"Selepas diserbu, kita dapati premis serta maklumat majikan adalah berbeza berbanding di PLKS.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengambil tindakan menyenaraihitamkan semua pemegang PLKS tidak sah terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Setia Perkasa di sini pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini JIM sudah melaksanakan tangkapan 14 pegawainya untuk membantu siasatan kes sindiket terbabit.

Katanya, JIM akan meneruskan siasatan termasuk mengenal pasti maklumat-maklumat baharu untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Op Crack dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama JIM bermula 28 Julai bertindak membuat tangkapan lebih 10 individu membabitkan pengarah syarikat, warga asing, pegawai polis serta imigresen.

Sebanyak 1,306 PLKS dikesan diluluskan secara tidak sah di pelbagai lokasi di seluruh negara membabitkan pelbagai sektor.

Zakaria dilaporkan berkata, terdapat penglibatan 'orang dalam' di JIM yang mengetahui bagi mengeksploitasi MyIMMs dalam sindiket godam sistem terbabit berkaitan proses kelulusan PLKS secara tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Individu terbabit menggunakan peranti 'dongle' serta perisian yang dimasukkkan ke dalam komputer sebelum sistem terbabit diakses dari luar dengan menggunakan ID (nama pengguna) pentadbir untuk mendaftar masuk sebelum mencipta ID palsu bagi meluluskan semua PLKS secara tidak teratur.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!