SPRM lumpuhkan sindiket import ayam sejuk beku tidak sah dari China

KOTA KINABALU - Satu sindiket pengimportan ayam sejuk beku secara tidak sah yang dipercayai merasuah pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di negeri ini berjaya dilumpuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, sebanyak 10 kontena berisi ayam sejuk beku dipercayai diimport dari China secara tidak sah disita menerusi operasi Op Chick yang dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pagi Selasa.
Berdasarkan siasatan awal, kontena berkenaan diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.

Susulan operasi tersebut, SPRM turut menahan tiga lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an yang berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat.
SPRM juga kini sedang mengenal pasti individu-individu yang disyaki terlibat.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan operasi dan tangkapan tersebut.
"Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan, esok.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
